Jawapan Terbuka Gambaran Kejujuran, Ketelusan PM - NGO, Parti Politik

Diterbitkan: Jumaat, 10 April 2015 7:54 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Badan bukan kerajaan, kesatuan dan parti politik menyifatkan jawapan secara terbuka Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pelbagai persoalan ditimbulkan terhadapnya menggambarkan kejujuran dan ketelusan beliau sebagai seorang pemimpin.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan berkata dalam program Soal Jawab TV3 Edisi Khas Khamis malam, Najib dilihat jujur memberikan jawapan bagi pelbagai isu yang dipersoalkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Jawapan daripada mulut Perdana Menteri sendiri jelas serta terang dan diharap rakyat dapat menerima semua jawapan beliau.

"Jadi jangan percaya lagi cerita yang tidak betul kerana ia hanya akan mengusutkan fikiran dan lebih teruk lagi jika kita tak faham betul-betul keadaan sebenar," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.

Berkongsi pendapat sama, Presiden Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) Datuk M. Sambanthan berkata, tindakan Perdana Menteri itu sekali gus dapat meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan beliau.

Beliau berkata, keterbukaan Najib menjawab pelbagai kritikan yang dibuat terhadapnya termasuk isu pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu dan isu dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) adalah tindakan yang tepat.

"Sebelum ini ramai orang marah bila timbul pelbagai isu, tapi selepas Perdana Menteri memberi jawapan balas semalam, ia menunjukkan keprihatinan beliau terhadap suara rakyat dan saya yakin rakyat berpuas hati," katanya.

Sambanthan berkata, kini tiba giliran barisan kepimpinan di bawah Najib untuk terus menguatkan Barisan Nasional (BN) dengan bekerja lebih keras bagi memperkukuhkan pentadbiran negara melalui pelaksanaan pelbagai agenda demi kebajikan rakyat.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, sesi wawancara seumpama itu perlu lebih kerap diadakan pada masa hadapan sebagai platform pemimpin negara menjawab persoalan-persoalan daripada rakyat secara terus.

"Jika boleh wawancara itu dibuat setiap minggu dengan bukan hanya menampilkan Perdana Menteri semata-mata sebaliknya menteri-menteri dan ketua setiausaha (KSU) juga perlu memainkan peranan untuk menjawab masalah rakyat.

"Menteri seharusnya mencontohi ketenangan Perdana Menteri ketika berhadapan isu ini dan perlu lebih rajin dan bekerja keras untuk menyokong kepimpinan beliau," katanya.

Beliau berkata, apabila ia dilakukan, rakyat tidak mempunyai sebab untuk keliru sekali gus dapat mengelakkan mereka daripada mudah terpengaruh dengan pelbagai kritikan dan dakwaan tidak benar.-- Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan