Kelab Akar Umbi PKR Minta Parti Lihat Semula Keputusan Tak Sokong Hudud

Diterbitkan: Jumaat, 10 April 2015 5:42 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kelab Akar Umbi Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Jumaat meminta pucuk pimpinan parti itu supaya melihat semula keputusan mereka tidak menyokong pembentangan Rang Undang-undang (RUU)Persendirian Mahkamah Syariah bagi pelaksanaan hudud di Kelantan.

Presiden kelab itu, Johari Musa berkata, keputusan pucuk pimpinan PKR baru-baru ini yang menolak pembentangan RUU itu seolah-olah mencabar kewibawaan anggota akar umbi parti itu sendiri yang beragama Islam.

Malah, Johari yang juga Naib Ketua PKR Lembah Pantai berkata, keputusan melulu pucuk pimpinan tanpa mengambil kira pandangan akar umbi turut menyinggung parti seperjuangan, PAS yang sudah pun dilihat semakin renggang hubungan dengan parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat.

"Kelab Akar Umbi PKR mohon pimpinan tertinggi PKR rujuk semula perkara besar ini dalam satu kongres parti. Biar ahli akar umbi yang membuat keputusan soal hudud yang melibatkan akidah umat Islam," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas perhimpunan aman di hadapan Masjid Jamek di sini.

Sebilangan anggota kelab itu berhimpun secara aman, di hadapan Masjid Jamek pada Jumaat bagi menyatakan sokongan terhadap pembentangan RUU itu. 

Kira-kira 50 ahli kelab dan anggota PKR yang berhimpun secara aman kira-kira 30 minit sejurus selepas Solat Jumaat turut membawa kain banting dengan tulisan "Kami desak Azmin (Timbalan Presiden PKR Azmin Ali) sebagai orang Islam nyatakan pendirian tentang hudud" dan "Pimpinan PKR jangan belakangkan ahli soal hudud".

Johari yang juga Ketua Biro Agama Islam PKR Lembah Pantai mengingatkan bahawa isu besar ini boleh menentukan nasib PKR pada pilihan raya kecil Permatang Pauh di Pulau Pinang pada 7 Mei ini.

Ditanya sama ada timbul kekhuatirannya dipecat sebagai anggota PKR kerana menentang pucuk pimpinan parti dalam hal demikian, beliau berkata, ia tidak menjadi masalah kepadanya.

"Setiap perkara baik pasti ada halangan dan rintangan. Kita hanya buat kerja yang Allah tetapkan dalam Al-Quran," katanya.

Pada 19 Mac lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015), atau hudud yang hanya terpakai kepada orang Islam mukalaf sahaja apabila ia dilaksanakan kelak selepas 44 anggota DUN sebulat suara meluluskan rang undang-undang itu.

Tags / Kata Kunci: Kelab Akar Umbi PKR , PKR , hudud

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan