GST: Gunakan Kuasa Sebagai Pengguna - PM

Diterbitkan: Khamis, 9 April 2015 10:33 PM

Datuk Seri Najib Tun Razak

(Ubah saiz teks)

PERSOALAN dan kritikan yang ditimbulkan beberapa pihak kebelakangan ini berkaitan isu pengurusan kewangan dan pentadbiran kerajaan yang diterajui Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat perhatian ramai.

Malahan, Perdana Menteri turut diminta melepaskan jawatan kerana mereka berpendapat Umno dan Barisan Nasional (BN) akan tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sekiranya beliau terus memimpin.

Menerusi edisi khas Soal Jawab Bersama Perdana Menteri dengan moderatornya, Hamdan Ahmir, pemimpin nombor satu negara itu akan menjelaskan pelbagai persoalan membabitkan isu politik dan ekonomi semasa.

Moderator: Saya ingin mulakan sesi kita dengan menyampaikan rasa simpati kami kepada Datuk Seri serta warga kerja Pejabat Perdana Menteri di atas kehilangan sahabat Datuk Seri yang cukup rapat, arwah Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan juga dua pegawai kanan yang paling rapat dengan Datuk Seri Allahyarham Datuk Seri Azlin Alias (Ketua Setiausaha Sulit Kepada Perdana Menteri) dan juga Datuk Mohd Poad Jelani (Setiausaha Sulit Perdana Menteri).

SOALAN (S): Bagaimanakah Datuk Seri menangani kesukaran dalam saat-saat yang berduka cita ini.

PERDANA MENTERI (PM): Tentu sekali kehilangan mereka bertiga merupakan satu tragedi bagi Pejabat Perdana Menteri. Lebih-lebih lagi bagi diri saya sendiri, tentu sekali bagi keluarga mereka, sahabat handai...dalam konteks pentadbiran negara, Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis telah memberi sumbangan yang besar dalam pelbagai kapasiti di dalam dan luar negara.

Allahyarham Datuk Azlin dalam pentadbiran pejabat saya telah menjalankan tugasnya dengan efisyen dan amanah. Begitu juga Allahyarham Datuk Poad sebagai setiasusaha sulit saya telahpun menjalankan tugasnya dengan baik.

Namun walaupun saya tetap dalam kesedihan, tetapi kehilangan mereka itu, pemergian mereka itu menguatkan lagi iltizam saya untuk terus menjalankan tugas saya memimpin negara kita dengan sebaik mungkin untuk mencapai segala impian, segala cita-cita dan wawasan negara.

EKONOMI

S: Kita dapati baru-baru ini, kerajaan membuat penilaian semula dari segi perkembangan ekonomi negara akibat tekanan yang kita hadapi secara global dari segi ekonomi. Bagaimanakah Datuk Seri melihat usaha-usaha yang dijalankan setakat ini dari segi memantapkan lagi ekonomi negara ke tahap yang lebih tinggi.

PM: Memang penilaian semula itu sangat kena pada masanya. Berikutan dengan kejatuhan harga minyak, agak begitu drastik merudum hingga kepada paras separuh daripada masa-masa sebelum ini.

Sudah tentu mana-mana negara pengeluar minyak terpaksa membuat pengubahsuaian kepada kedudukan fiskal negara supaya dengan langkah-langkah yang lebih proaktif, kita dapat menjamin bahawa fundamental negara masih kukuh, ini yang saya nak tekankan.

Meskipun harga minyak jatuh, tetapi fundamental ekonomi negara kita tetap utuh dan kita masih boleh mencapai kadar pertumbuhan yang sederhana tinggi. Kita masih boleh menarik pelaburan, masih boleh melaksanakan pembaharuan transformasi negara dan boleh terus memastikan rakyat Malaysia terbela.

KRITIKAN DR MAHATHIR

S: Kita dapati banyak pihak yang menyambut baik usaha yang dibuat oleh kerajaan dari segi memantapkan lagi perkembangan ekonomi negara. Tapi dalam pada itu Datuk Seri, ada juga pihak tertentu yang nampaknya tidak berpuas hati dengan cara pentadbiran Datuk Seri sendiri sebagai Perdana Menteri. Saya ingin khususkan kepada kritikan yang dibuat sejak akhir-akhir ini oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kepimpinan Datuk Seri sendiri. Bagaimanakah Datuk Seri melihat kritikan ini?

PM: Saya tetap menghormati Tun Mahathir seperti mana saya menghormati semua rakyat Malaysia. Saya terbuka kalau sekiranya ada mana-mana pihak mengkritik kepimpinan saya, pentadbiran saya. Saya harap kritikan itu dibuat dengan penuh berhemah dan cara bertanggungjawab. Saya meneliti, saya menimbang kewajaran setiap kritikan itu.

Tapi perlu saya tegaskan pada kesudahannya, saya perlu membuat keputusan sebagai Perdana Menteri dan sebagai Presiden Umno dan saya bertanggungjawab kepada rakyat Malaysia, saya bertanggungjawab kepada parti. Itu saya nak tegaskan, apa pun pendapat mana-mana individu, pada kesudahannya saya akan bertanggugjawab kepada rakyat dan parti.

PENGENALAN GST

S: Kita ambil contoh pengenalan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada 1 April. Ada juga pihak yang beranggapan mungkin dari segi timing GST diperkenalkan itu kurang sesuai di kala rakyat merasakan kesan ekonomi dunia yang memberi kesan kepada Malaysia itu juga menghimpit mereka. Apa komen Datuk Seri?

PM: Sebenarnya tak ada masa yang sesuai...yang dikatakan sesuai nak perkenalkan GST. Tetapi kalau kita lihat pada keseluruhannya antara faktor yang boleh dikatakan menyebelahi langkah kerajaan untuk memperkenalkan GST...harga minyak dah jatuh. Bila harga minyak jatuh, maknanya harga petrol dan diesel lebih rendah daripada masa-masa yang lalu. Satu, rakyat mendapat faedah daripada penurunan harga minyak dunia.

Yang kedua kerajaan telah buat persedian yang begitu lama. Soal GST ini sejak tahun 80an lagi, bukan perkara baharu. Jadi kita laksanakan. Dari segi makronya sesuai, masanya sebab kerajaan perlu kepada kewangan tambahan. Sebab hasil dividen daripada Petronas akan berkurangan kerana harga minyak sudah jatuh.

Jadi amat sesuai kita perkenalkan sekarang dan kita juga telah membuat satu bentuk di mana banyak produk perkhidmatan, barang-barang keperluan rakyat di zero rated atau dikecualikan. Lebih daripada 4,000, tak pernah mana-mana negara yang buat cara sedemikian. Dan ini bukan cukai tambahan, ini penggantian kepada cukai perkhidmatan dan jualan (SST).

Selain daripada itu kita juga tambah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), kita bagi pengurangan cukai peribadi antara satu hingga tiga peratus dan kita juga kurangkan cukai korporat satu peratus.

Jadi pakej kalau kita lihat keseluruhannya, adalah pakej yang tidak membebankan rakyat kerana kita nak pastikan pelaksanaannya. Ini pokoknya, pelaksanaan dari segi penguatkuasaannya. Kalau ada pihak yang komplen ia bukan pengenalan GST, sebenarnya pihak peniaga yang mengambil kesempatan. Peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab, bukan semua. Ada yang mengiklankan harga tak naik, ada yang kata harga akan kurang misalnya harga kereta dikurangkan, ada rangkaian supermarket seperti Mydin yang kata kekalkan harga. Ada yang kedai kain yang kata mereka akan absorb GST dan sebagainya. Jadi yang kita nak pihak penguatkuasaan ambil tindakan ialah peniaga yang tidak bertanggungjawab.

S: Kita faham bahawa barangan yang menjadi kegunaan harian yang utama bagi rakyat Malaysia dikecualikan daripada GST. Tapi ada juga kalangan rakyat yang membangkitkan soal apabila mereka pergi ke kedai untuk makan makanan orang Malaysia...misalnya satu nasi lemak, roti canai atau teh tarik juga dikenakan GST. Kalau nak beli kicap, tomato dan sebagainya, sos pun dikenakan GST. Jadi mereka bertanya bagaimanakah GST ini tidak membebankan rakyat sedangkan mereka keluar makan hari-hari di kedai kopi pun kena GST.

PM: Kalau pihak itu tak sepatutnya mengenakan GST, tolong laporkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (KPDNKK). Di sini letaknya kuasa pengguna, kita mesti tahu bahawa kita ada kuasa. Kuasa pertama kita boleh pilih mana-mana kedai yang kita nak beli barangan atau kedai-kedai makan apa pun, kita boleh pilih. Jadi mana kedai yang tidak bertanggugjawab, sengaja menaikkan harga lepas itu menyalahkan pihak kerajaan, kita jangan pergi ke kedai itu sebab ada banyak kedai lain. Kedai alternatif lain banyak.

Keduanya, kita mesti lapor kepada KPDNKK dan Kastam. Jadi buatlah, gunakan kuasa sebagai pengguna. Lambat laun mereka yang mengeksploitasi keadaan ini akan kehilangan pembeli.

BANTUAN RAKYAT 1MALAYSIA

S: Saya nak kaitkan kembali antara pemberian BR1M dan GST. Seperti yang disuarakan oleh Tun Dr Mahathir juga, bahawa masa yang tidak sesuai mengikut pandangan beliau...tidak semestinya betul. Tidak sesuai untuk dilaksanakan GST dan handout BR1M bukan satu kaedah berkesan untuk diambil oleh kerajaan. Apa pandangan Datuk Seri?

PM: Ia bukan handout sebenarnya. BR1M ini merupakan social safety net yang dicadangkan oleh jawatankuasa fiskal, bukan saya sendiri tapi jawatankuasa yang terdiri daripada jabatan-jabatan kerajaan termasuk Bank Negara, EPU, Kementerian Kewangan dan sebagainya. Bila mereka bincang pada mulanya kerana kita nak kurangkan subsidi pukal, maknanya subsidi pada minyak kita nak kurangkan sebab banyak ketirisan, banyak pembaziran, banyak pihak yang tak layak dapat subsisidi mendapat faedah subsisi.

Jadi kita kurangkan. Tapi kita kena kurangkan beberapa peringkat. Kalau kita kurangkan, kita jimat perbelanjaan kerajaan. Bila jimat perbelanjaan kerajaan, sebahagian daripada penjimatan itu kita salurkan balik kepada rakyat.

Jadi kalau rakyat terpaksa membayar harga minyak lebih, mereka adalah timbal balas dalam bentuk BR1M. Bagi mereka yang berpendapatan RM3,000 kebawah sekarang ini kita tambah sedikit kepada RM4,000, tapi pendapatan RM3,000 ke bawah ada timbal balas. Jadi itulah falsafah sebenarnya, soal social safety net yang bukan sahaja Malaysia tapi banyak negara lain amalkan dalam pelbagai kaedah.

Tags / Kata Kunci: GST , BRIM , Perdana Menteri

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan