RUU Mahkamah Syariah Dibentang Sesi Parlimen Akan Datang

Diterbitkan: Khamis, 9 April 2015 11:27 PM

Datuk Takiyuddin Hassan

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: PAS tidak akan membentangkan rang undang-undang (RUU) persendirian berhubung bidang kuasa mahkamah syariah di Dewan Rakyat pada Khamis.

Ketua Sekretariat Tetap Hudud Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan mengakui, hasrat PAS untuk membentangkan RUU itu pada sesi persidangan kali ini tidak kesampaian kerana terdapat urusan kerajaan yang perlu didahulukan.

“Hari ini memang tiada, peraturan bergantung kepada masa persidangan. Oleh itu usul berhubung pindaan Akta 355 tak sempat. Urusan kerajaan perlu didahulukan,” katanya ketika ditemui di bangunan Parlimen di sini, Khamis.

Bagaimanapun menurut Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bahru, PAS akur dengan proses berkenaan sambil memaklumkan bahawa usul yang sama akan dibawa sekali lagi di Dewan Rakyat pada sesi persidangan Mei depan.

“Masa yang ada untuk urusan kerajaan dan usul (pinda Akta 355) tidak dapat, jadi kita tengok bulan lima nanti, kita masuk (bentangkan) yang baharu,” katanya.

Pada awal persidangan hari ini, Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa persidangan tidak akan ditangguhkan sehingga selesai tujuh usul kerajaan seperti yang terkandung dalam senarai urusan mesyuarat dan usul-usul.

Berdasarkan senarai berkenaan, usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 yang diusulkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berada pada kedudukan ke-16 iaitu yang terakhir.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan