Cuaca Panas Beri Khabar Gembira Pemilik Kebun Durian

Diterbitkan: Khamis, 9 April 2015 11:36 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGETOWN: Walaupun negara dilanda musim panas dan kering sejak akhir tahun lalu, pokok durian di Balik Pulau sudah mula berbunga dan pemilik dusun raja buah itu dijangka dapat menuai hasilnya tidak lama lagi. 

"Musim durian berbunga kali ini amat menakjubkan dan ia terjadi disebabkan hujan sedikit sejak November lalu," kata pemilik dusun durian, Chang Teik Seng, 54.

Chang berkata apabila tiba musim hujan, buah durian sukar untuk didapati dan haiwan perosak serta kulat sering sahaja memusnahkan bunga pokok durian pada ketika itu. 

"Lebah juga diperlukan untuk proses pendebungaan dan apabila musim kemarau berlarutan untuk satu tempoh yang panjang, setiap bunga mungkin dapat menghasilkan sebiji buah," katanya. 

Ladang Durian Chang Bao Sheng telah menghasilkan pelbagai jenis durian sejak 1959 dan beliau menjangkakan akan dapat memperoleh hasil yang lumayan pada akhir bulan Mei nanti. 

"Tempoh yang paling kritikal ialah musim buah. Pada ketika ini saya sudah dapat melihat beberapa biji durian dengan saiz seperti sebiji telur tergantung di atas ranting pokok. Saya berharap cuaca kering ini akan berterusan hingga bulan Mei depan," katanya. 

Chang menjangkakan buah-buahan yang dihasilkan di ladangnya mempunyai rasa yang lebih enak kerana isinya kurang mendak, lebih padat serta lebih manis. 

Bahkan peminat buah durian juga sangat teruja ketika musim durian  berbunga. 

Sementara itu, seorang pakar bedah, Datuk Dr Lim Seh Guan yang mempunyai ladang seluas 1.6 ekar di Balik Pulau turut melahirkan rasa terkejut apabila melihat pokok-pokok duriannya mula berbunga dengan lebatnya. 


"Selalunya saya tidak memberikan perhatian sangat ketika proses pembungaan yang berlaku. Namun kali ini agak luar biasa, apabila pokok durian, rambutan, belimbing, jambu air dan durian belanda menghasilkan berbunga dengan lebat menjadikan ia berwarna-warni dan menarik perhatian sesiapa sahaja yang memandangnya," katanya. 

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan