Guan Eng Ditempelak Mahu Jadi Hero Perjuang Hak Rakyat Sabah & Sarawak

Diterbitkan: Khamis, 9 April 2015 11:59 PM

 Lim Guan Eng

Lim Guan Eng

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang anggota Parlimen pembangkang pada Khamis ditempelak wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dari Sabah apabila cuba melaga-lagakan mereka dengan kerajaan berhubung pindaan Akta Hasutan 1948. 


'Umpan' yang ditabur Lim Guan Eng (DAP-Bagan) nampaknya tidak berjaya memancing anggota Parlimen dari negeri itu, sebaliknya beliau pula ditempelak kerana disifat cuba menunjuk 'hero' apabila kononnya memperjuangkan hak dan nasib masyarakat Sabah dan Sarawak.

Datuk Marcus Mojigoh (BN-Putatan) yang bangkit mempertahankan wakil rakyat Sabah menegaskan mereka tidak mudah dibeli dengan wang ringgit serta tidak akan mensia-siakan mandat dan kepercayaan yang telah diberikan rakyat negeri itu.

"Bagan (Lim Guan Eng), dia mahu jadi hero dan wira supaya rakyat di Sabah dengar..kami tak beli...kerana kami berada di sini sebagai wakil rakyat dari Sabah mewakili rakyat Sabah, bukan Bagan.

"Kerajaan pusat tidak pernah meminggirkan kepentingan dan kebajikan rakyat, malahan sentiasa mendengar keluhan rakyat Sabah dan Sarawak," katanya di Dewan Rakyat, Khamis. 

Beliau mencelah ucapan Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang sedang membahaskan Rang Undang-undang Hasutan (Pindaan) 2015 bagi meminta pandangan rakan senegerinya itu berhubung kenyataan Lim ketika membahaskan rang undang-undang sama. 

Terdahulu, Lim mendesak wakil rakyat Sabah dan Sarawak supaya menolak rang undang-undang itu kerana mendakwa pindaan akta itu bersifat memihak apabila memperuntukkan mana-mana orang yang membangkitkan isu supaya Sabah dan Sarawak berpisah daripada Malaysia sebagai suatu kesalahan menghasut. 

"(Sebaliknya bagaimana) kalau rakyat Sabah dan Sarawak tidak puas hati dengan layanan kerajaan persekutuan...tak hormati hak mereka, tak beri hasil ekonomi yang saksama...jika mereka lahirkan (rasa) tidak puas hati adakah mereka akan dianggap menghasut di bawah akta ini," soalnya yang cuba 'memancing' pertimbangan anggota Parlimen Sabah dan Sarawak. 

Mengulas pencelahan Marcus, Bung Mohktar menyifatkan tindakan Lim seperti 'telunjuk lurus kelingking berkait' yang seringkali menonjolkan watak positif pada khalayak, sebaliknya tindakan itu adalah bertentangan dengan apa yang dikatakan.
Beliau turut menafikan pindaan akta itu akan menganiayai rakyat termasuk pembangkang, sebaliknya sebagai langkah untuk menjaga kebajikan dan keharmonian perpaduan kaum di negara ini.

Datuk Othman Aziz (BN-Jerlun) turut bangkit menyokong kenyataan Bung Moktar dengan menegaskan pindaan akta itu akan menghalang usaha sesetengah pihak yang menyalahgunakan media sosial seperti menghina dan mempersenda lagu kebangsaan.

"Mereka hanya menggunakan kreativiti, tetapi ada juga usaha membakar jiwa orang Islam yang sayangkan negara. Adakah kita hendak tunggu meletup dan bergaduh antara kaum, baru akan ambil tindakan?," katanya. 

Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) juga berpendapat pindaan Akta Hasutan itu tidak akan menyekat kebebasan bersuara termasuk berucap di khalayak ramai.

Tags / Kata Kunci: Lim Guan Eng , Datuk Marcus Mojigoh

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan