Ku Li Tolak Dikaitkan Sebagai Calon PM Tapi Sedia Kerjasama Dengan Tun M

Diterbitkan: Rabu, 8 April 2015 6:55 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tengku Razaleigh Hamzah enggan dikaitkan dengan mana-mana pihak yang mengesyorkan bahawa beliau adalah calon paling layak untuk menjadi perdana menteri.

Menurut Ahli Parlimen Gua Musang itu, sebagai ‘orang luar’ beliau tidak boleh mencampuri urusan pentadbiran negara.

"Ada hierarki (sistem lantikan), saya orang luar. Beliau (Zaid Ibrahim) boleh cadang...itu pandangan dia," katanya ketika ditemui di bangunan Parlimen pada Rabu.

Razaleigh berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas menteri Kabinet, Datuk Zaid Ibrahim yang menyuarakan bahawa beliau (Razaleigh) adalah calon terbaik mengambil alih jawatan perdana menteri.

Menerusi tulisan terbaharu di blognya, Zaid juga menyeru bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang satu ketika dulu merupakan 'musuh' Ku Li, menyokong bekas menteri kewangan itu untuk jawatan perdana menteri dan mengatakan kedua-duanya perlu berdamai untuk tujuan yang lebih besar.

Mengulas mengenai kerjasama dengan Mahathir, Razaleigh yang mesra di panggil Ku Li berkata, beliau tiada masalah bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk Dr Mahathir.

"Saya boleh bekerjasama dengan sesiapapun. Saya tidak berkelahi dengan Tun Mahathir.

"Tapi untuk calon perdana menteri, itu soal lain. Saya berkawan dengan Tun Mahathir sudah berpuluh tahun. Saya bukan berada di Parlimen hari ini sahaja.

"Bekerjasama dengan Tun Mahathir dan siapa-siapa pun tidak ada masalah. Tapi untuk soal perdana menteri, itu soal lain dan tidak boleh campur," katanya.

Minggu lalu, Dr Mahathir secara terbuka mengkritik pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dan meramalkan Barisan Nasional (BN) akan tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti sekiranya parti itu dan Umno masih diterajui Najib.

Malah Dr Mahathir juga membangkitkan beberapa isu kontroversi yang menyelubungi pentadbiran Najib termasuk isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Tags / Kata Kunci: Ku Li , Gua Musang

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan