Penurunan Teguran Audit Bukti Langkah Pencegahan Kerajaan Berkesan - KSN

Diterbitkan: Selasa, 7 April 2015 9:25 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penurunan mendadak teguran 'punitif' dan 'pembetulan' dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri I 2014 membuktikan keberkesanan langkah pencegahan salah laku oleh kerajaan, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata, kerajaan akan sentiasa memastikan proses pencegahan ini berterusan bagi memastikan ketirisan dapat dikurangkan, seterusnya melonjakkan kembali imej penjawat awam di mata masyarakat.

"Saya boleh nyatakan (penurunan) ini adalah hasil daripada desakan atau arahan yang diberikan semasa mesyuarat dengan pegawai-pegawai, khususnya KSU (Ketua Setiausaha Kementerian) dan KP (Ketua Pengarah).

"Isu berkaitan dengan teguran Ketua Audit Negara selalu dibangkitkan, supaya semua pegawai pengawal kementerian berwaspada, belajar daripada kesilapan, sama ada daripada pihak sendiri atau pihak lain," katanya pada Sesi Bersama Media berhubung tindakan susulan LKAN Siri 1 2014 di Auditorium Perdana, Angkasapuri di sini, Selasa.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang, serta ketua-ketua setiausaha kementerian, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan.

Menurutnya, dalam laporan itu terdapat 319 teguran iaitu enam teguran punitif melibatkan penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku atau kecuaian dan 313 teguran pembetulan yang menjurus kepada penambahbaikan sistem dan prosedur dalaman.

"Jika dibandingkan purata teguran LKAN Siri 2013 dengan teguran LKAN 2014, jumlah teguran didapati menurun daripada 418 kepada 319 teguran," katanya. 

Ali menarik perhatian, teguran berbentuk pembetulan pula menurun sebanyak 19 peratus iaitu daripada 385 teguran kepada 313 teguran.

Teguran punitif menurun sebanyak 82 peratus iaitu daripada 33 teguran kepada enam teguran melibatkan kementerian persekutuan, badan berkanun persekutuan dan syarikat persekutuan, katanya.

Jelasnya, teguran-teguran itu melibatkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) tentang Projek Infrastruktur Jalur Lebar Untuk Orang Ramai di Sabah dan Sarawak dan Kementerian Pertahanan berhubung Pengurusan Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia di Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur dan pengurusan prasarana dan kemudahan Wisma Transit Kuala Lumpur.

"Teguran lain melibatkan Kementerian Dalam Negeri iaitu berkenaan pengurusan perolehan perabot bagi pembangunan semula Kem Batalion 5, Pasukan Gerakan Am Simpang Renggam, Johor, pengurusan perolehan di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan pengurusan Perbadanan Nasional Berhad," katanya Ali berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat pengurusan perolehan perabot Pasukan Gerakan Am Simpang Renggam Johor.

Jawatankuasa Siasatan ditubuhkan bagi menyiasat teguran di KKMM, Kementerian Pertahanan, FRIM di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Perbadanan Nasional Berhad, katanya.

Kerajaan, katanya, sentiasa memandang serius kes salah laku melibatkan penjawat awam seperti dibangkitkan dalam LKAN 2014 Siri 1 walaupun hanya melibatkan sebilangan kecil penjawat awam.

Beliau berkata, tindakan sentiasa dibuat meskipun pada umumnya hanya 0.02 peratus daripada jumlah keseluruhan 1.5 juta pegawai dalam perkhidmatan awam yang terlibat dalam salah laku dalam laporan yang dibentangkan setiap tahun.

"Kerajaan akan memastikan teguran Laporan Ketua Audit Negara diambil tindakan sewajarnya. Usaha penambahbaikan secara berterusan juga diambil untuk mengelakkan teguran yang sama pada masa hadapan," katanya Secara keseluruhan, Ali berkata beliau berpuas hati dengan pendedahan LKAN ini, namun mengharapkan agar lebih banyak penurunan kes salah laku oleh penjawat awam pada masa akan datang.

Sementara itu, Ambrin pada sesi yang sama berkata pegawai kerajaan perlu sentiasa mengikuti peraturan yang ditetapkan, terutamanya oleh Perbendaharaan bagi sebarang penggunaan wang awam.

"Kalau kita tidak ikut peraturan yang ditetapkan kerajaan, maka risiko akan timbul dan persepsi tentang penjawat awam itu mungkin terjejas," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan