4,771 Penerima BR1M Berisiko Disenarai Hitam

Diterbitkan: Selasa, 7 April 2015 6:59 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sebanyak 4,771 penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berisiko disenarai hitam jika mereka tidak mengembalikan lebihan bayaran kepada Kementerian Kewangan.

Pengarah Belanjawan Negara, Datuk Siti Zauyah Md Desa berkata, mereka merupakan 72.5 peratus daripada 6,577 penerima yang membuat penunaian lebih daripada sekali membabitkan jumlah RM3.34 juta, bagi tempoh 2012 hingga tahun lalu.

"Penerima yang disenarai hitam tidak lagi layak menerima BR1M berikutnya.

"Mereka juga berisiko disenaraihitamkan dalam CCRIS (Sistem Rujukan Maklumat Kredit Berpusat)," katanya kepada pemberita selepas sesi bersama media sempena Laporan Ketua Audit Negara 2014, Siri 1, di sini, Selasa.

Berdasarkan laporan itu yang dibentang di Dewan Rakyat semalam, 6,577 penerima BR1M bagi 2012, 2013 dan 2014 membuat penunaian lebih daripada sekali membabitkan amaun RM3.34 juta.

Mengulas lanjut, Ziti Zauyah berkata Kementerian Kewangan telah mengeluarkan surat peringatan kepada yang berkenaan dan mereka boleh menghubungi Sekretariat BR1M bagi tujuan pemulangan lebihan bayaran masing-masing.

Sehingga kini sebanyak RM948,850 dapat dikutip semula daripada 1,806 penerima, katanya.

Beliau berkata, bagi mengelak perkara itu berulang, Kementerian Kewangan memperkenalkan ciri-ciri keselamatan pada baucar BR1M 2015 bagi memastikan baucar hanya boleh ditebus sekali sahaja.

Antara ciri-ciri tersebut ialah nombor siri selain nama dan nombor kad pengenalan penerima, katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kewangan masih menggunakan baucar sebagai kaedah pembayaran alternatif selain pindahan terus ke akaun bank penerima disebabkan ada segelintir penerima BR1M berstatus bankrap atau tinggal di kawasan pedalaman tanpa kemudahan perbankan.

Sejumlah RM2.09 bilion diagihkan kepada 4.2 juta penerima BR1M pada 2012, RM2.83 bilion kepada 6.8 juta penerima pada 2013 dan RM3.64 bilion kepada 7.0 juta penerima BR1M 2014. -- Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan