Cahaya Bunga Api, Guruh Gambaran Pelajar Malaysia Terjebak Pergolakan Di Yaman

Diterbitkan: Selasa, 7 April 2015 10:33 PM

Noor Hafidah Ismail, 21 disambut ibu bapanya, Siti Nurisah Maahad, 52, dan Ismail Sharif, 50 sejurus tiba bersama sebahagian daripada 47 rakyat Malaysia yang dipindahkan dari Sana’a dan Hodeidah, Yaman berikutan berlaku pergolakan dinegara itu semasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 11.58 pagi, Selasa.

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Letupan bom, jet pejuang berlegar di udara dan peluru berpandu yang dilepaskan boleh dilihat dengan jelas serta bekalan elektrik terhad merupakan pengalaman mendebarkan yang tidak mungkin dapat dilupakan Syed Asyraf Al Qhadri Syed Zain.

Pelajar berusia 19 tahun dalam pengkhususan bahasa Arab di Sana'a, Yaman itu berkata ketika serangan memasuki waktu puncak iaitu selepas Isyak, ruang udara seakan bermandikan 'cahaya bunga api' akibat tembakan bertali-arus pihak bertelagah.

"Sungguhpun rumah sewa dan tempat saya belajar tidak jauh dari lokasi tumpuan serangan, keadaan adalah selamat cuma gegaran akibat letupan bom yang boleh dirasai mengundang sedikit rasa bimbang.

Walaupun selamat, pihak pengurusan menguatkuasakan peraturan pelajar tidak boleh keluar selepas Isyak kerana serangan biasanya bermula pada waktu itu sehinga menjelang Subuh," katanya ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini dari Jeddah, Selasa.

Beliau adalah antara 47 rakyat Malaysia yang berada di kawasan bergolak Sana'a dan Hodeidah dan dibawa pulang ke tanah air menaiki Penerbangan Malaysia, MH151 pada 11.58 pagi Selasa.

Berkongsi perasaan sama, Dr Nor Azian Hasnan berkata ketika letupan kali pertama kedengaran, beliau dan beberapa rakan menyangka ia adalah dentuman guruh kerana kawasan tempat tinggal mereka di Sana'a kerap dilanda hujan.

Beliau yang mengikuti kursus bahasa Arab selama tiga bulan di bandar itu berkata selepas dimaklumkan bahawa ia merupakan serangan oleh tentera Arab Saudi, fikiran dan perasaannya mula cemas memikirkan keselamatan diri.

"Pada mulanya kami diberitahu keadaan adalah terkawal sehinggalah kami diminta bersedia untuk dipindahkan ke Jizan di sempadan Arab Saudi ketika serangan memasuki hari ketiga.

Serangan udara mula dilancarkan pada hari Rabu (26 Mac)...kami mula dipindahkan pada Jumaat dan untuk sampai ke Jizan kami terpaksa menempuh perjalanan sejauh kira-kira 300 kilometer menaiki bas melalui jalan yang berbengkang-bengkok," kata ibu kepada lima orang anak yang memiliki klinik sendiri di Taman Sri Andalas, Klang.

Dr Nor Azain Hasnan, dipeluk cium oleh suaminya Dr Basil Towil sebaik tiba di KLIA.

Nor Azian, 48, berkata sepanjang perjalanan beliau langsung tidak dapat menghubungi keluarganya, namun kegusarannya terhapus selepas bas yang membawanya tiba di Jizan, satu kawasan yang selamat sebelum meneruskan perjalanan ke Jeddah.

Katanya walaupun berdepan pelbagai kesukaran, beliau dan semua yang terlibat amat berterima kasih kepada kerajaan khususnya Kementerian Luar menerusi Kedutaan Malaysia di Sana'a yang berusaha keras memastikan mereka yang terlibat dapat dibawa keluar dari wilayah bergolak untuk kembali ke tanah air.

Pelajar tahun ketiga jurusan syariah di sebuah Maahad di Hodeidah, Uwais Al Athof Sanusi pula berkata pihak pentadbiran sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga sehingga wakil kedutaan datang dan memaklumkan semua 44 pelajar dari Malaysia di situ akan dibawa keluar dari Yaman seberapa segera.

"Dari tempat belajar, kami terpaksa menempuhi perjalanan memeritkan selama lebih 10 jam sebelum tiba di Jizan dan ini satu pengalaman yang menyukarkan," kata pelajar berusia 17 tahun dari Banting, Selangor itu.

Bagi rakannya, Nor Hafidah Ismail, 21, keadaan keselamatan pelajar perempuan lebih terjamin berbanding pelajar lelaki yang menetap di rumah sewa yang terletak kira-kira lima kilometer dari lapangan terbang, iaitu kawasan tumpuan serangan pasukan tentera udara Arab Saudi.

"Pada mulanya memang saya merasa takut, namun selepas beberapa hari bunyi letupan dan tembakan sudah menjadi perkara biasa sehinggalah dimaklumkan pihak kedutaan Malaysia akan membawa kami keluar dari kawasan itu," katanya yang berasal dari Merlimau, Melaka.

Dalam pada itu, bapa Nor Hafidah, Ismail Syarif, 50, memuji tindakan segera kerajaan menangani situasi dengan membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di Yaman.

Ismail yang ditemui semasa menyambut ketibaan anaknya berkata tindakan pantas Wisma Putra memberi reaksi bahawa anaknya akan dibawa pulang selepas dua hari beliau memberikan maklumat mengenai Nor Hafidah merupakan sesuatu yang harus dipuji kerana ia melibatkan soal keselamatan.

Keadaan di Yaman bergolak selepas tentera Arab Saudi yang disertai tentera pakatan Teluk melancarkan operasi ketenteraan bagi menyelamatkan pemerintahan Presiden Abedrabbo Mansour Hadi daripada konflik perang saudara.- Bernama


Tags / Kata Kunci: Yaman , KLIA

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan