Razakan Selamat Dikebumi Di Kampung Sg. Damit

Diterbitkan: Isnin, 6 April 2015 7:00 AM

Setinurafene meratapi pemergian Razakan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Damit di Tuaran, malam Ahad. - fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

TUARAN: Jenazah pengawal peribadi Tan Sri Jamaluddin Jarjis, Allahyarham Razakan B Seran selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Sg. Damit di sini, kira-kira jam 12 tengah malam, malam Ahad.

Terdahulu, jenazah yang diterbangkan ke Kota Kinabalu dari Pangkalan Udara Subang selepas selesai solat jenazah di Masjid Bukit Aman, mendarat tiba di pekan Tuaran, jam 8.45 malam. 

Jenazah kemudiannya dibawa ke Masjid Kampung Sg Damit untuk sekali lagi solat jenazah bagi anggota keluarga terdekat memberi penghormatan terakhir sebelum dikebumikan. 

Turut hadir pada upacara itu ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah Datuk Hajiji Noor, Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Jahid Jahim dan Pengarah Pelajaran Sabah Datuk Jame Alip. 

Allahyarham Razakan, 31, merupakan antara enam mangsa helikopter yang terhempas di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih, Selangor kira-kira 4.55 petang, semalam. 

Razakan yang merupakan anak keempat daripada lima bersaudara telah berkhidmat selama 10 sebagai anggota polis. 

Beliau meninggalkan seorang isteri Setinurafene Andu, dan dua orang anak yang masing-masing berusia tujuh tahun dan setahun enam bulan.

Tags / Kata Kunci: Razakan , helikopter , terhempas

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan