Audit: Objektif Pembinaan KTU Tidak Tercapai Sepenuhnya

Diterbitkan: Isnin, 6 April 2015 4:49 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Objektif pembinaan Kompleks Bangunan Kolej Tentera Udara (KTU) di Kepala Batas, Kedah tidak tercapai sepenuhnya kerana ada sebahagian bangunan dan kemudahan tidak dapat digunakan dan diduduki, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri 1.

Laporan itu menyebut sebahagian bangunan dan kemudahan itu tidak dilengkapi dengan kelengkapan seperti perabot dan masalah sistem komunikasi serta terdapat juga beberapa kelemahan penyeliaan dan pemantauan semasa pelaksanaan kerja-kerja pembinaan.

"Antara kelemahan ditemui ialah nilai kontrak RM96.07 juta yang telah dimeterai dan kos perunding berjumlah RM10.57 juta melebihi siling projek RM80 juta.

"Kelulusan tambahan peruntukan telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) berjumlah RM41.97 juta bagi menampung kos projek ini," demikian menurut laporan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat, Isnin.

Menurut laporan itu, bangunan berkenaan tidak boleh diduduki walaupun telah siap dibina kerana ketiadaan kelengkapan perabut dan keseluruhan sistem komunikasi tidak berfungsi.

KTU merupakan pusat latihan yang ditubuhkan bertujuan melatih pegawai dan krew udara bagi memenuhi keperluan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang merangkumi pusat latihan pegawai, institut teknologi aeroangkasa dan pusat latihan terbang.

Bangunan dan prasarana KTU yang sedia ada di Kepala Batas dibina pada  1970-an di mana kebanyakannya rosak dan usang serta tidak dapat menampung kapasiti pelatih.

Menurut laporan itu, Kompleks Bangunan KTU mula dibina pada 9 Februari 2010 dan sepatutnya siap pada 5 November 2012, dan pengauditan dijalankan antara September 2014 dan November 2014 mendapati ia telah siap dibina dengan dua lanjutan masa selama 161 hari.

Laporan itu turut menyebut bahawa pembinaan dan pengurusan Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (WP ATM) di Jalan Padang Tembak di sini, adalah memuaskan dan mencapai objektifnya iaitu menyediakan bangunan yang moden dan lebih selesa.

"Bagaimanapun terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaannya yang menyebabkan kerajaan tidak mendapat 'value for money' (nilai wang) atas perbelanjaannya.

"Antara kelemahan ditemui adalah WP ATM lewat disiapkan selama 389 hari serta kos pembinaan meningkat sejumlah RM0.33 juta disebabkan perancangan lemah dari aspek reka bentuk dan skop kerja.

"Selain itu, kelewatan menduduki bangunan selama 25 bulan di mana bangunan hanya diduduki sepenuhnya selepas Tempoh Tanggungan Kecacatan pembinaan tamat tempoh," menurut laporan itu.

Pelaksanaan projek itu bermula pada 28 Ogos 2008 dan tarikh siap sepatutnya pada 24 Februari 2011 (30 bulan). WP ATM telah siap dibina pada Mei 2012, tetapi hanya beroperasi sepenuhnya mulai Mac 2014.

WP ATM menyediakan perkhidmatan hospitaliti seperti perkhidmatan, sajian dan kemudahan lain yang berorientasikan perhotelan kepada pegawai ATM.

Selain itu, laporan audit itu turut menyentuh mengenai pengurusan prasarana dan kemudahan Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) yang berada dalam keadaan memuaskan kerana mencapai objektif penubuhannya.

"Bagaimanapun, semakan audit mendapati masih terdapat kelemahan perlu diperbaiki bagi memantapkan lagi pengurusan prasarana WTKL. Antaranya 33 peratus daripada 287 bilik penginapan WTKL tidak digunakan kerana mengalami kerosakan," katanya.

WTKL berperanan menguruskan pergerakan anggota dan keluarga Tentera Darat melalui perkhidmatan catar udara melibatkan pergerakan dua hala dari Semenanjung ke Sabah serta Sarawak, dan sebaliknya. Ia beroperasi sepenuhnya pada Januari 2009.-- Bernama


Tags / Kata Kunci: Kolej Tentera Udara , Audit , TUDM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan