Tragedi Semenyih

Diterbitkan: Ahad, 5 April 2015 10:16 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Penerbangan ke Subang menaiki helikopter AS365N2 Dauphin selepas menghadiri majlis resepsi perkahwinan anak perempuan Perdana Menteri di Pekan, Pahang ditakdirkan gagal sampai ke destinasi.

Helikopter itu meletup di udara ketika hujan lebat sebelum terhempas dalam kawasan ladang getah di Sungai Pening, Kampung Pasir Baru, Semenyih pada pukul 4.55 petang, Sabtu dan mengorbankan semua enam individu didalamnya.

Enam individu terlibat, termasuk bekas menteri yang juga Ahli Parlimen Rompin, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis.

Tragedi yang menyayat hati: Datuk Azlin Alias (kiri) dan Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis bergambar kenangan pada majlis resepsi anak Perdana Menteri, Nooryana Najwa di Pekan, Pahang yang dihadiri oleh mereka pada Sabtu beberapa jam sebelum helikopter yang mereka naiki terhempas di Semenyih pada petang hari yang sama.

Pengerusi PRIMA itu dalam perjalanan untuk menghadiri majlis perkahwinan kedua iaitu pernikahan anak perempuan Ketua Pegawai Eksekutif PRIMA, Datuk Abdul Mutalib Alias pada Sabtu malam di Pusat Persidangan Sime Darby dan ternyata hasratnya tidak kesampaian.

Datuk Tan Seng Huat.

Turut terkorban adalah Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias; juruterbang, Kapten Clifford Fournier; pegawai operasi, Eidiana Baiziera; ahli perniagaan, Datuk Tan Seng Huat dan pengawal peribadi Jamaluddin, Mohd Razkan Seran.

                                     

Kapten Clifford Fournier                                        Mohd Razkan Seran

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Ibam, Datuk Wan Kadri Wan Mahusain yang turut menaiki helikopter itu terselamat kerana lebih awal turun di Bandar Tun Razak, Muadzam untuk menziarahi kematian.

Pasukan mencari dan menyelamat membabitkan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) menjalankan operasi dan berjaya menemui mayat terakhir pada pukul 8.15 malam.

Operasi ditamatkan sebaik semua mayat mangsa dikeluarkan dari lokasi tragedi itu pada pukul 9.30 malam.

Terdahulu, ketika menghadiri majlis perkahwinan anak Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor, kedua-dua kenamaan itu sempat merakamkan beberapa gambar kenangan.

Mayat semua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses pengecaman dan bedah siasat.

Perdana Menteri, isteri serta pasangan pengantin baharu, Nooryana Najwa dan Daniyar Kessikbayev turut bergegas ke lokasi kejadian untuk mendapat maklumat berhubung kejadian itu sebelum ke HKL bagi menemui ahli keluarga mangsa.

Sebaik arahan dikeluarkan Najib supaya siasatan terperinci dijalankan, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memaklumkan pasukan khas ditubuhkan untuk tujuan itu dan siasatan bermula Ahad.

Setakat pagi Ahad, jenazah Jamaluddin dan Azlin sudah dikenal pasti dan dibawa ke kediaman masing-masing di Mines Resort Golf and Country Club Seri Kembangan dan Saujana Impian, Kajang untuk dimandi dan dikafankan sebelum disembahyangkan.

Jamaluddin akan dikebumikan di Makam Pahlawan Negara di Masjid Negara, manakala Azlin di Tanah Perkuburan Islam Sekolah Menengah Agama Persekutuan di Kajang sebelum Zuhur.












Tags / Kata Kunci: Semenyih , Jamaluddin Jarjis , Azlin Alias

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan