12 Pemilik Rumah Mendap Di Seksyen 7 Akur Berpindah

Diterbitkan: Ahad, 5 April 2015 9:03 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Dua belas pemilik unit rumah di Jalan Plumbum 7/101A, Seksyen 7 di sini yang mengalami mendapan tanah Khamis lepas akhirnya akur untuk berpindah demi keselamatan berikutan kawasan berkenaan masih dalam pemantauan bencana tahap satu.

Pegawai Daerah Petaling, Datuk Mohd Misri Idris berkata Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) selaku pemaju perumahan juga bersetuju untuk menanggung semua kos perpindahan berkenaan termasuk menyediakan senarai rumah yang boleh disewa bagi penduduk terjejas.

"Arahan berpindah selewat-lewatnya sebelum Rabu ini. Jika penduduk ada pilihan rumah lain untuk penempatan, boleh kemukakan kepada pihak perbadanan, jadi tiada sebab untuk penduduk terjejas tidak berpindah dari kawasan terbabit.

"Bagi kawasan mendapan itu, kita sudah mendapat kerjasama daripada pihak pemaju I-City supaya menghentikan projek mereka sementara waktu bagi kerja-kerja memantau struktur tanah kawasan terlibat," katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk terjejas di sini Ahad.

Mohd Misri berkata bagi unit rumah lain di dalam kawasan yang sama, tiada arahan berpindah dikeluarkan berikutan struktur tanah masih selamat dan tidak terjejas namun PKNS akan terus menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa demi keselamatan awam.

Ketika ditanya punca berlaku mendapan tanah di kawasan perumahan tersebut, Mohd Misri tidak menolak kemungkinan keadaan hujan berterusan selain pembangunan pesat projek I-City dilihat mampu menjadi faktor pergerakan tanah tersebut.

Sehubungan itu, katanya, PKNS akan memulakan langkah baik pulih kawasan terjejas dalam tempoh terdekat bagi memastikan kawasan itu selamat pada masa depan.

Dalam pada itu, seorang penduduk terjejas, Andrew Devidass, 36, ketika ditemui menyatakan tawaran harga pembelian semula rumah yang mendap itu oleh PKNS sepatutnya mengikut spesifikasi harga hartanah semasa.

Menurut beliau, adalah sukar baginya serta penduduk lain mencari jenis rumah sama di sekitar bandar raya itu pada kadar RM405,000, iaitu pampasan yang ditawarkan PKNS untuk membeli rumah terjejas berkenaan.

"Kita boleh jual rumah itu sekiranya PKNS boleh bagi penilaian harga mengikut keadaan semasa. Saya sudah bayar pinjaman untuk rumah itu sekarang dan mana mampu untuk tambah lagi pinjaman bagi mendapatkan rumah pada keluasan yang sama," katanya.

Bagi Marziah Mahmud, 43, beliau mendakwa alasan yang diberikan PKNS bagi permasalahan tanah mendap berkenaan masih sama sejak kejadian itu berlaku pertama kali sekitar tahun 2008.

Katanya, perbadanan tersebut seharusnya lebih arif mengenai masalah mendapan berkenaan kerana ia berlaku buat kali kedua namun masih belum mendapat penyelesaian terbaik menanganinya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan