Kumpulan Majoriti Senyap Terus Sokong Kepimpinan Negara - PM

Diterbitkan: Ahad, 5 April 2015 11:35 PM

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (dua, kiri) tiba pada Rumah Terbuka Ugadi di Dataran Merdeka, Ahad. Turut kelihatan Presiden Telugu Malaysa Datuk Dr Achaiah Kumar Rao (tiga, kiri). -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kumpulan majoriti senyap terus menyokong kepimpinan negara walaupun beberapa ekstremis cuba memecahbelahkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata beliau percaya bahawa majoriti senyap dalam kalangan rakyat tidak mudah terpengaruh dan percaya dengan apa sahaja agenda atau isu yang dibangkitkan oleh kumpulan ekstremis.

"Hanya sesetengah pihak seperti golongan ekstremis cuba mensensasikan isu-isu kecil dan memecahbelahkan kita. Kita tidak perlu tunduk kepada elemen negatif  mereka.

"Kita harus ingat, integrasi dan perpaduan dalam kalangan kumpulan majoriti akan meletakkan Malaysia berada dalam keadaan yang harmoni, kukuh dan stabil pada tahun-tahun mendatang," katanya pada sambutan Rumah Terbuka Ugadi di Dataran Merdeka di sini, Ahad.

 Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Turut hadir Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan, Presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia Tan Sri M.Kayveas dan bekas Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu.

Perdana menteri berkata kerajaan sentiasa komited dalam mengekalkan dan melindungi kesejahteraan semua masyarakat di negara ini.

Mengenai masyarakat India di Malaysia, Najib berkata kerajaan akan terus berusaha untuk meningkatkan taraf hidup mereka walaupun adanya beberapa masalah dan cabaran dalam proses mencapainya.

"Saya harus akui bahawa masih ada masalah dan cabaran yang dihadapi  masyarakat ini yang memerlukan perhatian daripada kerajaan," kata beliau.

Najib berkata kerajaan telah mengumpul input dan pendapat daripada setiap pihak dalam masyarakat India untuk meningkatkan taraf hidup mereka bagi dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-11 yang akan dibentangkan tidak lama lagi.

Menurutnya kerajaan juga sentiasa mengakui inisiatif yang diambil oleh organisasi bukan kerajaan (NGO) dalam melindungi kesejahteraan masyarakat.

"Kami mendengar suara dan pendapat yang dapat membantu kami. Itulah sebabnya kita membantu mereka dengan memperuntuk bantuan kewangan,”katanya.

Ugadi adalah perayaan tahun baru bagi masyarakat Telugu dengan perkataan "Yuga" bermaksud era dan "adi" bermaksud permulaan dalam bahasa Sanskrit.

Lebih 1,000 orang menghadiri sambutan Rumah Terbuka Ugadi itu yang dianjurkan oleh Persatuan Telugu Malaysia.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan