Polis Kawal Lokasi Nahas Helikopter - Ahmad Zahid

Diterbitkan: Ahad, 5 April 2015 12:42 PM

Kawalan keselamatan sepanjang masa di lokasi nahas helikopter untuk memastikan pasukan siasatan dapat melaksanakan tugas bagi mengenal pasti punca kejadian itu.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis mengawal ketat keseluruhan lokasi tragedi helikopter terhempas yang membawa Ahli Parlimen Rompin, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dan lima yang lain.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, polis turut mengumpul beberapa bahan bukti untuk menjalankan siasatan.

"Perdana Menteri telah mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung nahas itu," katanya kepada pemberita di pekarangan kediaman Jamaluddin di Seri Kembangan, Ahad.

Helikopter itu terhempas di ladang getah berhampiran Kampung Sungai Pening di Semenyih, Kajang pada kira-kira pukul 4.55 petang, Sabtu.

Mengenai spekulasi kemungkinan berlaku sabotaj, Ahmad Zahid mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.

"Beberapa nyawa terkorban, jadi janganlah buat sebarang spekulasi atau menyebarkan khabar angin yang tidak sepatutnya. Semua pihak seharusnya menghormati mereka yang terkorban dengan mengetepikan sebarang perbezaan fahaman atau politik," katanya.

Jenazah Jamaluddin dibawa ke kediamannya dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan akan dikebumikan di Makam Pahlawan selepas solat Asar.

Antara kenamaan yang memberi penghormatan terakhir adalah Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom Abdullah; bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Penasihat kerajaan dalam hal ehwal sosiobudaya bertaraf menteri, Tan Sri Dr Rais Yatim; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan; Exco Pahang, Datuk Syakar Shamsuddin dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan