PRK Permatang Pauh: Saya Sedia Bertanding - Zaidi

Diterbitkan: Sabtu, 4 April 2015 12:01 PM

Mohd Zaidi Mohd Said.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said sedia bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Permatang Pauh sekiranya dinamakan dicalonkan dan dipersetujui kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, pada masa sama, beliau juga berhasrat memberi laluan kepada calon tempatan yang dirasakan lebih layak untuk bertanding di kerusi panas itu.

"Kalau PM (perdana menteri) kata saya, jadi saya sedia bertanding tapi mungkin ada calon yang lebih baik. Jadi saya akan beri laluan kepada calon tersebut," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Beliau berkata, Umno Bahagian Permatang Pauh telah mencadangkan tiga nama kepada pimpinan parti untuk dipilih sebagai calon sekiranya BN mengumumkan akan bertanding.

"Saya dah bagi segala maklumat kepada perdana menteri mengenai beberapa calon yang boleh dianggap layak ketika bertemu beliau di Parlimen pada Khamis. Ada dua tiga calon yang dirasakan sesuai tapi segalanya terpulang kepada beliau untuk buat keputusan," katanya.

Mohd Zaidi berkata, beliau turut memaklumkan kepada perdana menteri mengenai hasrat mereka yang mahukan calon dikalangan 'anak' Permatang Pauh.

"Beliau (PM) terima pandangan kita untuk turunkan calon anak tempatan. Namun belum ada lagi keputusan siapa yang akan diumumkan sebagai calon. Kita tunggu selepas mesyuarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Rabu depan," katanya.

Jelas beliau, Umno Bahagian Permatang Pauh tetap akur dan menerima siapa sahaja yang akan dipilih pimpinan tertinggi parti nanti.

"Soal calon tidak menjadi isu. Kita akan sokong sesiapa sahaja yang dipilih," katanya.

Ketika ditanya mengenai persediaan untuk menghadapi PRK itu, Mohd Zaidi berkata, jentera pilihan raya dalam keadaan siap sedia dan hanya menunggu arahan daripada presiden parti untuk membantu calon yang bertanding nanti.

"Kita dalam keadaan cukup baik untuk menghadapi PRK ini... tiada timbul isu perpecahan dalam Umno pada ketika ini," katanya.

Selain itu, katanya, BN mempunyai sedikit kelebihan sekiranya Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menawarkan diri bertanding di kerusi tersebut kerana beliau bukan lagi calon popular.

"Kalau PKR letakkan beliau (Dr Wan Azizah) sebagai calon kita rasa lebih untung sebab beliau bukan calon popular di Permatang Pauh pada ketika ini," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, BN perlu berusaha keras untuk mendapatkan lebih banyak sokongan rakyat terutamanya pengundi Cina ketika isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dijadikan pembangkang sebagai modal untuk meraih undi.

"Isu GST akan memberi sedikit tekanan kepada kita. Tapi kita akan gunakan tempoh kempen untuk menjelaskan perkara itu kepada rakyat. Kita harap mulai hari ini dan sebelum PRK diadakan segala kebaikan mengenai GST akan mula dirasai rakyat," katanya.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh diisytihar kosong apabila penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai Anggota Parlimen pada 16 Mac lepas selepas Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon melalui keluarganya pada 24 Februari lepas.

Anwar, yang juga ketua pembangkang, kini menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

SPR akan mengadakan mesyuarat khas berhubung pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh Rabu ini (8 April).

 



Tags / Kata Kunci: PRK Permatang Pauh , BN , PKR

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan