KPN Sangkal Kenyataan Dr Mahathir

Diterbitkan: Jumaat, 3 April 2015 7:47 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Polis menafikan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa tiada siasatan lanjut dibuat ke atas bekas komando polis, Sirul Azhar Omar berhubung pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, siasatan menyeluruh sudah dijalankan ke atas semua isu-isu yang dibangkitkan oleh Sirul.

"Mungkin Tun Dr Mahathir tidak tahu tentang tindakan yang telah kita ambil, dan siasatan yang telah kita dilakukan.

"Kami (polis) telah bertemu Sirul di Australia. Hasil pertemuan itu, kita dapati bahawa tidak ada isu-isu yang perlu disiasat lagi," katanya pada sidang akhbar pada hari Jumaat.

Apabila ditanya sama ada kandungan posting terbaharu bekas Perdana Menteri itu boleh dianggap menghasut, Khalid berkata, "bagi saya, ia tidak."

"Tun Dr Mahathir bukan orang pertama yang membangkitkan isu ini. Ramai lagi berbuat demikian sebelum beliau.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, kes ini berlaku lapan tahun lalu dan Sirul mempunyai banyak peluang untuk bangkitkan isu ini, tapi mengapa tunggu hingga kini?" katanya.

Menerusi posting di blognya chedet.cc pada Khamis, Dr Mahathir berkata ramai ahli dan pemimpin Umno menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara membuta tuli.

Dr Mahathir mendakwa rakyat berbilang kaum tidak lagi percaya kepada Najib kerana gagal menjawab pelbagai tuduhan dilemparkan terhadapnya termasuk kes pembunuhan model Mongolia, kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pembelian jet peribadi untuk kegunaan VVIP.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan