Penguatkuasaan Bersepadu Kurangkan Kes Kesalahan Hutan: MB Perak

Diterbitkan: Jumaat, 3 April 2015 2:33 PM

Dr Zambry Abdul Kadir.

(Ubah saiz teks)

IPOH: Penguatkuasaan bersepadu antara Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) dan agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar berjaya mengurangkan kes kesalahan hutan, sidang Dewan Undangan Negeri Perak diberitahu pada Jumaat.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata bilangan kes kesalahan hutan yang dikesan pada tahun 2014 berkurangan kepada 40 kes daripada 45 kes pada 2013 dan 60 kes tahun sebelumnya.

"Jumlah kutipan kompaun daripada kesalahan hutan pada tahun 2014 adalah sebanyak RM529,400, 2013 menurun kepada RM282,448.21 dan RM390,420 pada 2012," katanya ketika menjawab soalan lisan Wong May Ing (DAP-Pantai Remis).

Katanya pelbagai usaha telah dijalankan dalam menguatkuasakan undang-undang terhadap kegiatan pembalakan haram termasuk mengadakan pemantauan hutan melalui udara, menjalankan operasi penguatkuasaan bersepadu dan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

"NBOS melibatkan agensi seperti Pejabat Daerah dan Tanah Gerik, Perbadanan Taman Negeri Perak, polis, tentera dan Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia)," katanya.

Selain itu, Zambry berkata JPNPk turut menjalankan aktiviti pemantauan berkala dan mengguna pakai teknologi moden penderiaan jauh (satelit) menerusi projek Pemantauan Hutan Menggunakan Remote Sensing (FRMS).

"Aktiviti itu dijalankan dengan kerjasama Ibu Pejabat Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Agensi Remote Sensing Malaysia untuk tujuan pengesanan pembalakan haram.

"Untuk penguatkuasaan, JPNPk mempunyai peruntukan undang-undang berdasarkan Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313), Kaedah-kaedah Hutan 1988, Enakmen Industri Berasas Kayu 1987," katanya.

Beliau berkata JPNPk turut menjalin kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam menyelesaikan isu penerokaan hutan oleh masyarakat Orang Asli.

"Kawasan yang diteroka akan dipulihkan dengan menanam pokok-pokok sebagai langkah menghijaukan semula kawasan hutan untuk memelihara alam sekitar bagi tujuan pengurusan hutan secara berkekalan," katanya.

Zambry berkata sehingga Disember 2014, seluas 159,866 hektar di negeri ini telah diwartakan sebagai kawasan Hutan Tadahan Air dalam hutan simpanan kekal.

"Ini secara langsung memenuhi kehendak Dasar Perhutanan Negara dan Rancangan Fizikal Negara (RFN) terutama melibatkan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) dan pembangunan berpandukan Rancangan Struktur Negeri dan Tempatan," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri juga terlibat secara langsung dalam usaha memelihara habitat fauna melalui projek koridor ekologi 'Central Forest Spine' (CFS).

"CFS diwujudkan bagi menangani fragmentasi hutan yang dikenal pasti sebagai satu daripada ancaman kepada pemuliharaan khazanah biodiversiti negara dan menyumbang kepada peningkatan konflik antara manusia dan hidupan liar," katanya.

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan