Jasa Rangka Strategi 'Serang' Tangkis Persepsi Negatif Terhadap Kerajaan

Diterbitkan: Jumaat, 3 April 2015 5:16 PM

Mohd Puad Zarkashi

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) akan merangka strategi pendekatan 'serang' menggunakan pelbagai saluran bagi menangkis dan memperbetulkan persepsi negatif masyarakat tentang kerajaan.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, ia penting bagi memastikan peranan jabatan itu lebih efektif terutamanya dalam menangani penyalahgunaan media sosial untuk menyebarkan maklumat negatif.

"Jabatan itu tidak lagi boleh bersifat defensif. Kami perlu menjelaskan isu secara menyerang. Kami akan jawab segala isu sebelum ia jadi viral dan negatif kepada kerajaan.

"Jasa akan ke depan untuk perjelas perkara berbangkit dan menjawab isu berkaitan seperti 1MDB," katanya kepada pemberita pada seminar S.P.A Outreach: Pengenalan SPA Dan Perkhidmatan Awam kepada Jasa di sini, Jumaat.

Majlis itu dirasmikan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Tan Sri Mahmood Adam.

Sehubungan itu, katanya, pegawai Jasa perlu mempertingkat keupayaan dan kemahiran dalam menangani isu-isu yang berbangkit, termasuk isu militan IS.

Mohd Puad turut membidas pihak pembangkang yang tidak menggunakan saluran yang tepat seperti persidangan Dewan Rakyat dalam mengutarakan pandangan mengenai dasar dan polisi kerajaan seperti isu air Selangor.

"Seperti isu 1MDB, Menteri Kewangan Kedua (Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah) sudah memberi penjelasan yang baik di Parlimen tetapi tidak dihadiri anggota Parlimen pembangkang...mereka cari kesalahan kita, kesalahan sendiri tidak nampak," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata semua agensi dan jabatan kerajaan perlu menubuhkan satu unit 'cyber-troopers' bagi memantau dan menjawab persoalan yang disiarkan di laman-laman media sosial.

"Semua pihak kena memperkuat usaha dalam menangani media sosial kerana kita tidak mahu media sosial digunakan untuk terus memfitnah kerajaan yang ada," katanya.

Seminar sehari anjuran Akademi SPA dengan kerjasama Jasa disertai 160 pegawai Jasa.-- Bernama



Tags / Kata Kunci: Jasa , Mohd Puad Zarkashi , SPA , militan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan