30 April Tempoh Akhir Selangor Muktamadkan Perjanjian Penstrukturan Semula Air - Ongkili

Diterbitkan: Khamis, 2 April 2015 10:48 PM

Maximus Ongkili

Maximus Ongkili.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor mempunyai masa hingga 30 April ini untuk memberi jawapan tentang pelanjutan tarikh akhir bagi Perjanjian Induk mengenai penstrukturan semula industri bekalan air Selangor, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Beliau berkata, jika gagal berbuat demikian, Kerajaan Persekutuan akan menganggap bahawa Kerajaan Selangor tidak berminat menerima tawaran mengenai langkah penyusunan semula itu dan pengambilalihan penuh pemegang konsesi di Selangor seperti yang terkandung dalam Perjanjian Induk.

Menurut beliau, selepas tarikh akhir itu, Kerajaan Persekutuan akan mengambil langkah perlu mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2008 (WSIA) dan undang-undang berkaitan lain bagi memastikan kepentingan negara dan kebajikan rakyat dapat dilindungi.

"Untuk memastikan wujudnya jaminan bekalan air dan siapnya semua projek yang dirancang, termasuk langkah tebatan, kami berharap semangat kerjasama seperti yang dijunjung Kerajaan Selangor sebelum ini, akan diteruskan," katanya selepas  melawat Loji Rawatan Air Langat 2 di Hulu Langat, dekat sini.

Ongkili berkata tarikh akhir mengenai Perjanjian Induk itu dilanjutkan dua kali setelah tamat pada 9 Mac, tetapi Kerajaan Selangor tidak bersetuju melanjutkannya lagi bagi menyempurnakan Perjanjian Induk.

"Malah, saya secara peribadi menulis surat kepada Menteri Besar Selangor,  Azmin Ali pada 12 Mac bagi meminta beliau memikirkan semula keputusannya untuk tidak melanjutkan tarikh akhir Perjanjian Induk serta perkara tertangguh yang perlu diselesaikan. Bagaimanapun, hingga hari ini, saya belum menerima jawapan rasmi daripada Menteri Besar itu," katanya. 

Ongkili berkata Kerajaan Persekutuan menjunjung tinggi titah diraja oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semasa upacara perasmian persidangan dewan undangan negeri pada 30 Mac lepas, terutama apabila baginda bertitah bahawa baginda bimbang dengan kesan daripada segala kelewatan dan permainan politik yang melibatkan kehidupan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya serta perniagaan.


"Kami berharap Kerajaan Selangor akan memberi perhatian terhadap nasihat baginda agar Perjanjian Induk itu dilaksanakan sepenuhnya serta menjamin agar bekalan air terdapat pada sepanjang masa seperti yang dirancang," katanya.

Ongkili berkata kementerian beliau berpendirian bahawa pihak yang terlibat perlu menghormati dan mematuhi perkara yang terkandung dalam Perjanjian Induk.

"Ada perkara dalam perjanjian itu yang memerlukan pelarasan halus untuk kepuasan hati kedua-dua pihak," katanya sambil menjelaskan bahawa perkara itu adalah berkaitan tanah dan aset air lain, yang telah dipersetujui dalam perbincangan dan rundingan ketika menyediakan Perjanjian Induk.

"Kami tidak mengubah syarat atau menambah perkara baharu dalam perjanjian itu. Apa yang perlu dilakukan Kerajaan Selangor hanyalah mematuhi termanya," kata beliau

Ongkili berkata Kerajaan Selangor terus mendakwa bahawa tanah tempat terletaknya loji Bukit Nenas dan loji Semenyih adalah milik Selangor, tetapi dari segi undang-undang, perkara itu tidak berasas.

Beliau berkata perkara itu perlu diselesaikan kerana jika tidak, Perjanjian Induk akan terlerai dan Kerajaan Persekutuan perlu menggunakan pilihan lain, termasuk tindakan undang-undang untuk melaksanakan haknya.

Perbincangan yang diadakan sepanjang dua tahun lepas membawa kepada termeterainya satu memorandum persefahaman (MoU) mengenai penstrukturan semula bekalan air Selangor pada 26 Feb tahun lepas, Perjanjian Dasar Induk (MoA) pada 1 Ogos dan akhirnya Perjanjian Induk pada 2 September

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan