Syarikat Anjur Konsert K-Pop Dengan Aksi Peluk Disenarai Hitam

Diterbitkan: Khamis, 2 April 2015 2:28 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Gara-gara kontroversi aksi peluk dan cium antara artis Korea Selatan, K-Pop dengan remaja wanita bertudung awal tahun ini, penganjur konsert berkenaan, TGM Events disenarai hitam oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, tindakan keras itu diambil setelah mendapati penganjur melanggar peraturan yang ditetapkan.

"Kerajaan telah bertindak menyenarai hitamkan syarikat yang menganjur penganjur konsert  K-Pop (Fan Meeting B1A4 Acer Special) pada 10 Januari 2015 yang lalu di KL Live Kuala Lumpur kerana telah melanggar peraturan yang ditetapkan.

"Aktiviti penguatkuasaan bersama agensi lain yang berkaitan seperti pihak berkuasa tempatan juga telah ditingkatkan untuk mengelakkan insiden seperti itu berulang," kata Shabery.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis kepada Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) berhubung kehadiran artis K-Pop ke negara ini yang merosakkan maruah remaja.

Awal tahun ini tersebar secara meluas di laman sosial sedutan klip video aksi pelukan dan ciuman beberapa remaja Islam bersama-sama anggota kumpulan itu dalam konsert yang berlangsung di KL Live Center.

Video berdurasi tiga minit 21 saat itu menunjukkan empat pe­rempuan yang memakai tudung bukan sahaja merelakan diri dipeluk dan dicium malah membalas pelukan ahli kumpulan berkenaan.

Bagaimanapun, penganjur konsert itu tampil dengan memohon maaf dan berjanji akan lebih berhati-hati terutama dalam perkara membabitkan soal budaya dan agama serta interaksi melibatkan peminat dan artis.

Tags / Kata Kunci: K-Pop , Peluk

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan