DAP Sarawak Label PKR 'Sombong & Tidak Sensitif'

Diterbitkan: Khamis, 2 April 2015 6:13 PM

(Ubah saiz teks)

SIBU: DAP Sarawak menyifatkan keinginan Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan calon di enam kerusi yang dipertandingkan pada pilihan raya negeri akan datang sebagai langkah yang 'sombong', tidak sensitif, dan tidak matang.

"PKR bertindak melulu apabila mereka menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi yang dimenangi oleh DAP. 

"Ini menunjukkan kesombongan, sikap tidak sensitif dan mereka bertindak dengan cara yang tidak matang. 

"Mereka tidak sepatutnya membuat kenyataan itu kerana DAP juga tidak pernah melakukan perkara  sedemikian," kata Naib Pengerusi DAP negeri, David Wong.

David berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha PKR bahagian Kanowit, George Chen yang menyatakan parti tersebut sedia meletakkan calon untuk bertanding di Meradong, Repok, Bawang Assan, Pelawan, Dudong, dan Bukit Assek.

DAP memenangi lima daripada enam kerusi berkenaan, kecuali Bawang Assan pada pilihan raya negeri yang lalu. 

Chen dilaporkan berkata  keputusan untuk meletakkan calon PKR dibuat selepas DAP membuat keputusan meninggalkan Pakatan Rakyat sebagai bantahan kepada PAS yang melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Mengulas lanjut Wong berkata tindakan PKR itu jelas menunjukkan mereka tidak sensitif serta tidak memahami tujuan DAP Sarawak meninggalkan Pakatan Rakyat. 

Ia dilakukan untuk menjaga sekularisme di Malaysia dan kepentingan negeri selaras dengan perjanjian 20 perkara yang dipersetujui dalam pembentukan Malaysia.

Bagaimanapun, Wong yang juga ADUN Pelawan itu berkata PKR boleh menyuarakan hasrat mereka untuk bertanding di enam kerusi tersebut apabila DAP tiada lagi dalam gabungan negeri.

Beliau turut memberi amaran bahawa PKR akan tewas dalam pilihan raya negeri sekiranya mereka masih lagi bersekutu dengan PAS.

Ditanya adakah DAP berasa terancam sekiranya PKR meneruskan hasrat mereka untuk bertanding, Wong berkata: 

"Kami tidak mahu terlalu sombong kerana hak rakyat untuk memilih mana-mana parti yang mahu berkerjasama dengan PAS atau DAP yang membuat keputusan untuk meninggalkan Pakatan Rakyat demi mempertahankan sekuralisme di Malaysia."

Tags / Kata Kunci: DAP Sarawak , PKR , David Wong , George Chen

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan