Buku 'Aku Masih Ingat' Bongkar Kisah Malbatt Di Mogadishu

Diterbitkan: Khamis, 2 April 2015 12:03 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Buku 'Aku Masih Ingat...Memoir Seorang Komander' membongkar kisah sebenar 113 anggota pasukan Malbatt 1 (Malaysian Battalion) bertarung nyawa dalam misi menyelamat kumpulan renjer Amerika Syarikat yang dikepung ribuan militan pemberontak di Mogadishu, Somalia pada 3 dan 4 Oktober 1993.

Buku hasil nukilan Brig Jen (B) Datuk Abdul Latif Ahmad itu menggarap detik cemas pasukan Malbatt 1 dalam peristiwa berdarah 'peperangan di Bakara' dengan lebih terperinci berbanding filem Hollywood 'Black Hawk Down' yang menceritakan kejadian itu daripada kacamata penerbit barat.

Abdul Latif, yang merupakan Komander Malbatt 1 di bawah panji Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), berkata filem tersebut tidak langsung menyentuh tentang penglibatan tentera Malaysia dalam misi menyelamat pasukan renjer Amerika Syarikat, walaupun fakta yang terdapat dalam filem tersebut benar.

"Kami tidak salahkan penerbit filem kerana mereka ingin mencari keuntungan dan ingin mengagungkan negara mereka. Namun agak terkilan apabila peranan tentera Malaysia tidak sedikitpun dimasukkan dalam filem tersebut," katanya kepada pemberita selepas pelancaran buku berkenaan di sini, Rabu.

Mengimbas kembali insiden itu, beliau berkata kompeni Aplha Malbatt, di bawah pimpinan Mejar Abdul Aziz dengan lima pegawai dan 42 anggota lain-lain pangkat terlibat dalam misi menyelamat bersama pasukan Pakistan dan Amerika Syarikat.

Operasi bermula kira-kira pukul 8.30 malam pada 3 Oktober 1993 dengan pasukan tentera Malaysia berada di barisan kedua di belakang kereta kebal tentera Pakistan dalam konvoi misi menyelamat bersama tentera Amerika Syarikat.

"Tiba-tiba separuh perjalanan, kereta kebal tentera Pakistan tidak ingin meneruskan misi kerana mereka memberi alasan tidak mempunyai keupayaan untuk melihat pada waktu malam, dan kami terpaksa berada di hadapan," katanya.

Abdul Latif berkata, anggota tentera Malaysia berdepan detik cemas apabila kereta perisainya yang berada di barisan hadapan dibedil dengan tembakan  bertubi-tubi tanpa henti selama enam jam, bagaimanapun tembakan tersebut tidak menembusi badan kereta perisai jenis APC Condor pasukan tentera Malaysia.

"Hanya satu kereta perisai Malaysia terkena roket yang dilancar oleh tentera penceroboh menyebabkan cermin hadapan pecah dan roket tersebut masuk ke dalam kereta perisai, mengakibatkan seorang maut dan enam lagi cedera.

Pemandu kereta perisai jenis Condor itu Prebet Mat Aznan Awang terkorban dalam kejadian itu.

Abdul Latif berkata, kejadian pada pukul 3.08 pagi 4 Oktober 1993 itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat pasukan gabungan PBB untuk terus membedil pihak musuh tanpa henti hingga berjaya membawa keluar anggota renjer Amerika Syarikat yang terperangkap.

Beliau berkata, walaupun dunia tidak mengetahui peristiwa sebenar yang berlaku pada hari tersebut namun lebih 30,000 anggota tentera seluruh dunia yang berkhidmat di bawah panji PBB pada masa itu menyanjung dan memuji keberanian Malbatt 1, terdiri daripada pasukan 19 Rejiman Askar Melayu Diraja Malaysia yang berjaya menyempurnakan operasi menyelamat itu.

Abdul Latif berkata, misi di Somalia merupakan pengalaman peperangan yang paling hebat disertai tentera Malaysia dalam menjaga keamanan dunia.

"Saya harap pengalaman yang dikongsi dalam buku ini dapat memupuk semangat patriotik rakyat Malaysia terutama golongan muda agar lebih mencintai negara," katanya.

Selain menceritakan pengalaman misi peperangan di Somalia, buku setebal 324 muka surat itu turut menceritakan pengalaman Abdul Latif dalam pasukan tentera melalui peristiwa mencabar dalam sejarah negara.

Ini termasuk ancaman konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia (1964-1966), tragedi rusuhan 13 Mei 1969, banjir besar Kuala Lumpur pada tahun 1971 dan darurat kedua menentang komunis yang menggugat keselamatan negara pada tahun 1970-an.-- Bernama



Tags / Kata Kunci: Malbatt , Abdul Latiff Ahmad , Bakara , Mogadishu

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan