Gangguan Bekalan Air Di Hulu Langat, Petaling, Kuala Langat, Sepang

Diterbitkan: Rabu, 1 April 2015 3:36 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Gangguan bekalan air tidak berjadual dialami sebahagian pengguna di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang, bermula Rabu.

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata gangguan bekalan air itu berlaku kerana penutupan sementara Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih sejak pukul 9 pagi tadi.

"Loji kendalian Syarikat Konsortium ABASS Sdn Bhd terpaksa ditutup sementara kerana kandungan ammonia dan manganese di dalam air Sungai Semenyih melebihi paras dibenarkan," katanya kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri Selangor di sini, Rabu.

Beliau berkata siasatan menunjukkan pencemaran itu berpunca daripada sebuah kilang aluminium yang terletak di mukim Semenyih dan arahan telah dikeluarkan supaya operasi kilang tersebut dihentikan serta-merta.

Katanya, penutupan operasi loji rawatan air itu kini masuk kali kelima dilakukan oleh ABASS dalam tempoh dua bulan setelah Sungai Semenyih mengalami pencemaran yang sama hingga menyebabkan operasi loji tersebut dihentikan pada 15 Feb, 3 Mac, 7 Mac dan 19 Mac lepas.

"Buat masa ini Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Syarikat Konsortium ABASS Sdn Bhd sedang memantau keadaan sungai dan operasi loji rawatan dijangka pulih bergantung kepada tahap pencemaran," kata Menteri Besar.

Tags / Kata Kunci: Selangor , Air , Gangguan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan