MPPP Diisytihar Majlis Bandaraya Pulau Pinang

Diterbitkan: Selasa, 31 Mac 2015 2:43 PM

Patahiyah yang dilantik sebagai Datuk Bandar Pulau Pinang yang pertama, kemudiannya melafazkan penerimaan jawatan serta mempersembahkan ikrar setia di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas sebelum diserahkan Cokmar kepadanya.

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) pada Selasa secara rasmi dinaik taraf dan dikenali sebagai Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas mengumumkan perkara itu pada majlis penyerahan surat cara pengisytiharan MBPP di Seri Mutiara, di sini hari ini.

Upacara majlis perisytiharan bermula dengan Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Arpah Abdul Razak menyerahkan surat cara perisytiharan itu kepada Abdul Rahman.

"Bahawasanya setelah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang mengisytihar, menubuh dan memerintahkan MPPP, hendaklah mulai 1 Jan 2015 menjadi sebuah bandar raya, yang bernama MBPP dan bukan lagi MPPP dengan mempunyai hak tertentu sebagai sebuah bandar raya," kata Abdul Rahman.

Serentak dengan itu, Ketua Menteri Lim Guan Eng kemudian membaca surat cara pelantikan Datuk Patahiyah Ismail sebagai Datuk Bandar Pulau Pinang di hadapan Yang Dipertua Negeri.

Patahiyah sebagai Datuk Bandar Pulau Pinang yang pertama, kemudiannya melafazkan penerimaan jawatan serta mempersembahkan ikrar setia di hadapan Yang Dipertua Negeri sebelum Abdul Rahman mengalungkan Kalung Jawatan serta menyerahkan Cokmar kepadanya.

Ketika ditemui selepas majlis itu, Patahiyah berkata pelantikannya itu adalah satu amanah dan tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

"Kami akan mempertingkatkan lagi perkhidmatan kami. Seperti mana yang saya sebut sebelum ini, setiap aktiviti atau projek yang akan dilaksana, kami akan libatkan komuniti," katanya.

Patahiyah berkata pelantikannya itu juga adalah satu kebanggaan bagi kaum wanita memandangkan beliau adalah wanita pertama dilantik memegang jawatan itu.

Tags / Kata Kunci: MPPP , MBPP

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan