Tahan Sakit Lebih Dua Jam Kaki Tersepit Lubang Tandas - Berita Semasa | mStar

Tahan Sakit Lebih Dua Jam Kaki Tersepit Lubang Tandas

Diterbitkan: Selasa, 31 Mac 2015 8:49 AM

Anggota Bomba dan Penyelamat sedang berusaha mengeluarkan kaki Muhamad Saifuddin yang tersepit di dalam lubang tandas dirumahnya.

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun terpaksa menahan kesakitan lebih dua jam selepas kaki kanannya terjerlus ke dalam lubang tandas di rumahnya di Kampung Seelong Jaya, Skudai, di sini Isnin. 

Pegawai Bomba Kanan II Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Baharu Mohamad Nazaruddin Ahmad Zainuddin berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 1 tengah hari ketika Muhamad Saifuddin Hakimi Rosmani, sedang bersiap untuk ke sekolah agama.

Beliau berkata Bomba menerima panggilan kecemasan daripada bapa mangsa pada pukul 2.32 petang.

"Seorang pegawai dan sembilan anggota bomba termasuk tiga anggota Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS), tiba di tempat kejadian setengah jam kemudian," katanya.

Mohamad Nazaruddin berkata pihaknya memecahkan keliling lubang tandas itu dan berjaya mengeluarkan kaki kanak-kanak terbabit tanpa sebarang kecederaan.

Katanya operasi tamat pada pukul 3.45 petang dan kaki kanak-kanak itu turut diperiksa anggota EMRS bagi mengesahkan tiada kecederaan.
Tags / Kata Kunci: kaki , tersepit , lubang tandas , bomba

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan