Pakatan Rakyat Sabah Putus Kerjasama Politik Dengan PAS Sabah

Diterbitkan: Isnin, 30 Mac 2015 8:52 PM

Dari kiri: Wong, Lajim dan Timbalan Ketua PKR Sabah Christina Liew menunjukkan surat menyingkir keluar PAS daripada gabungan Pakatan Rakyat ketika sidang media di Kota Kinabalu, Isnin. -foto NORMIMIE DIUN/ The Star

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Pakatan Rakyat (PR) Sabah pada Isnin secara rasmi memutuskan hubungan dan kerjasama politik dengan PAS Sabah selepas tidak bersetuju dengan usaha PAS melaksanakan hukum Hudud di Malaysia.

Jurucakap PR Sabah yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Lajim Ukin berkata keputusan berkenaan dibuat dalam mesyuarat yang dihadiri wakil PAS, DAP dan PKR sendiri di sini petang ini.

Menurut Lajim, PR Sabah berpendapat tidak ada keperluan untuk melaksanakan hukum hudud di Malaysia pada masa ini.

"Kami telah mengambil kira semua pandangan, faktor dan keadaan politik semasa dan telah mengambil keputusan yang berat untuk memutuskan hubungan kerjasama dengan PAS. Namun begitu, kami akan terus komited untuk berjuang dalam PR di antara PKR dan DAP," kata Lajim dalam sidang akhbar di sini Isnin.

Antara pemimpin parti-parti politik dalam PR Sabah yang menghadiri mesyuarat hari ini ialah Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Sabah Ali Hasan, Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Sabah Hamid Ismail, Pengerusi DAP Sabah Jimmy Wong dan Lajim selaku pengerusi MPN PKR Sabah.

Bagaimanapun, Lajim menegaskan bahawa pemimpin-pemimpin beragama Islam dalam PKR tidak menolak hukum hudud kerana ia terkandung dalam al-Quran namun mereka menolak pelaksanaannya di Malaysia.

Menurut Lajim, PR mengharapkan PAS Sabah untuk tidak meneruskan hasrat mereka untuk melaksanakan hukum hudud di Malaysia namun parti berkenaan tetap serius untuk melaksanakannya.

"Oleh itu, adalah terlalu rumit untuk meneruskan kerjasama politik dengan mereka dalam keadaan sedemikian," kata Lajim.

Lajim berkata keputusan memutuskan kerjasama politik dengan PAS Sabah itu dibuat sendiri oleh PR Sabah tanpa campur tangan PR Pusat namun keputusan itu telah dimaklumkan kepada PR Pusat.

Ditanya sama ada PKR dan DAP Sabah masih boleh menggunakan platform PR untuk kerjasama politik mereka di Sabah selepas PAS tidak lagi berada di dalam pakatan itu, Lajim berkata ia adalah wajar kerana PKR dan DAP masih majoriti.

Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said Keruak berkata beliau tidak terkejut dengan tindakan PR Sabah itu.

Salleh, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri berkata beliau sudah menjangkakan perkara sedemikian akan berlaku berikutan ideologi ketiga-tiga parti pembangkang berkenaan adalah berbeza.

"Saya tidak terperanjat dengan perkembangan yang berlaku kerana saya melihat perjuangan ketiga-tiga parti pembangkang ini tidak seiring dan sudah pasti perkara seperti hari ini akan berlaku," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Katanya, PR telah gagal menunjukkan kesepakatan dalam membuat keputusan kerana asas penubuhan pakatan itu adalah untuk kepentingan sendiri demi jawatan dan bukannya untuk berkhidmat kepada masyarakat.

"Begitu juga, satu hari nanti, saya tidak hairan jika DAP dan PKR berpisah kerana ideologi dan agenda kedua-dua parti berkenaan adalah berbeza," katanya.

Beliau berharap rakyat Sabah dapat menilai matlamat serta perjuangan PR yang bergolak itu yang menandakan mereka tidak bersatu dan tidak berniat untuk membangunkan Sabah.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan