Ujian Tapisan Keselamatan Kesan Penjawat Awam Terlibat IS - KM Melaka

Diterbitkan: Isnin, 30 Mac 2015 5:26 PM

Idris Haron

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron mengarahkan ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri melakukan ujian tapisan keselamatan terhadap kakitangan bawah seliaan mereka bagi mengesan sebarang penglibatan dalam aktiviti militan Negara Islam (IS).

Beliau berkata, langkah itu perlu dilakukan dengan segera dan secara berterusan kerana ancaman IS tidak dapat dilihat dengan mata kasar kerana pada awalnya ia melibatkan pemikiran.

"Saya yakin ada ancaman itu kerana mereka mungkin bersimpati dengan perjuangan IS. Oleh itu, saringan keselamatan ini penting kerana kami tidak mahu ada pegawai atau kakitangan kerajaan dan agensi negeri ini terlibat dalam fahaman ini kerana ia boleh mengancam keselamatan masyarakat dan juga negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan taklimat keselamatan dan ancaman gerakan militan IS di Dewan Besar Universiti Teknikal Malaysia Melaka di sini, Isnin.

Taklimat dihadiri kira-kira 1,000 pelajar universiti awam dan swasta itu disampaikan Ketua Penolong Pengarah bahagian Penyelidikan dan Keurusetiaan Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Rosli Abas.

Idris berkata, tapisan itu boleh dimulakan dengan ujian saringan urin kerana difahamkan mereka yang terpengaruh dalam fahaman IS dikenal pasti turut terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

"Penjawat awam yang didapati positif dadah dalam ujian saringan urin ini akan diambil tindakan mengikut Perintah Am sedia ada sebelum saringan keselamatan lebih terperinci dijalankan terhadap mereka," katanya.

Terdapat kira-kira 5,000 kakitangan awam di Melaka.

Tags / Kata Kunci: IS , Idris Haron , penjawat awam

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan