#KitaLawan: Jangan Jadikan Sukan Medan Berpolitik

Diterbitkan: Isnin, 30 Mac 2015 6:20 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor digesa supaya tidak menjadikan sukan sebagai medan berpolitik apabila menggunakan slogan #KitaLawan untuk atlet negeri itu beraksi pada Sukan Malaysia (Sukma) 2016 di Sarawak.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan menggesa supaya kerajaan Selangor pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menukar slogan berkenaan kerana ia tidak menunjukkan semangat kesukanan.

“Saya harap mereka tidak libatkan politik dengan sukan. Jangan bagi jenama politik terhadap sukan negara dan saya gesa supaya pihak kerajaan Selangor tukar slogan #KitaLawan kepada slogan lain yang lebih bersemangat kesukanan,” katanya ketika ditemui pemberita di bangunan Parlimen di sini, Isnin.

Slogan #KitaLawan digunakan pakatan pembangkang bagi menentang sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana kesalahan meliwat.

Sejak 7 Mac lalu, pakatan pembangkang menggunakan slogan #KitaLawan dalam penganjuran beberapa siri perhimpunan haram di ibu negara sebagai tanda protes terhadap penahanan Anwar.

Penggunaan slogan #KitaLawan oleh kontinjen Selangor diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari selepas mempengerusikan mesyuarat dengan persatuan sukan di negeri itu pada Jumaat.

Tags / Kata Kunci: Sukma , #KitaLawan , Selangor , Saravanan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan