DUN Selangor: BN Disaran Semak Semula Keputusan Tidak Lantik Ketua Pembangkang

Diterbitkan: Isnin, 30 Mac 2015 5:42 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Selangor disaran menyemak semula keputusan mereka tidak menamakan calon ketua pembangkang baharu pada persidangan DUN negeri ini yang bermula secara rasmi, Isnin.

Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh Tseow Suan berkata, walaupun kepimpinan BN Selangor memutuskan untuk memilih Mat Nadzari Ahmad Dahlan iaitu Adun Batang Kali sebagai Penyelaras Adun BN, jawatan berkenaan sebenarnya tidak diiktiraf DUN tersebut.

"Dalam DUN Selangor, memang tak diiktiraf jawatan penyelaras Adun kerana hanya jawatan rasmi iaitu jawatan ketua pembangkang saja yang diambil kira untuk terima semua keperluan serta elaun yang kita sediakan.

"Selain itu, hanya ketua pembangkang saja yang akan diberi keutamaan untuk menjadi pembahas terawal dalam perbahasan bajet negeri dalam sidang DUN nanti," katanya kepada pemberita selepas Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga DUN Selangor ke-13, di sini, Isnin.

Jelas Yeoh, pihaknya juga telah menghantar dua surat rasmi kepada pimpinan BN Selangor supaya segera melantik ketua pembangkang berikutan jawatan itu penting untuk memantau dan menegur dalam pentadbiran DUN negeri ini.

Kerusi ketua pembangkang DUN Selangor kosong apabila penyandangnya, Adun Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsuddin Lias melepaskan jawatan tersebut kerana menolak pelantikannya sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) Selangor.

Pelantikan ketua pembangkang bagi jawatan pengerusi PAC Selangor adalah berikutan persidangan DUN negeri itu pada 4 Dis lepas meminda peraturan tetap berkaitan yang mewajibkan ketua pembangkang dilantik bagi jawatan berkenaan.

Ketika ditanya sama ada Adun Bebas, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim boleh dilantik sebagai ketua pembangkang, Yeoh berkata hanya wakil daripada parti yang mampu membentuk sebuah kerajaan layak mengisi jawatan berkenaan.

"Abdul Khalid seorang saja mewakili Adun Bebas dan beliau tidak boleh menjadi ketua pembangkang kerana hanya wakil daripada parti yang mampu membentuk sebuah kerajaan saja layak dilantik. Dalam keadaan ini, BN layak kerana ada 12 kerusi DUN," katanya.

Bagaimanapun, menurut Yeoh tiada sebarang penalti akan dikenakan kepada Adun BN kerana tidak menamakan calon ketua pembangkang DUN baharu. 


Tags / Kata Kunci: Adun , BN , Mat Nadzari Ahmad Dahlan , DUN Selangor

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan