Jangan Kaitkan Hudud Dengan Statistik Jenayah Arab Saudi

Diterbitkan: Ahad, 29 Mac 2015 1:42 PM

Datuk Heng Seai Kie

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: PAS tidak harus hanya bergantung kepada statistik jenayah Arab Saudi dalam mempertahankan hudud, kata Ketua Wanita MCA Datuk Heng Seai Kie.

Beliau berkata statistik tidak memberikan gambaran sebenar jenayah di negara Timur Tengah.

Seai Kie mencadangkan bahawa statistik Arab Saudi mungkin menjadi lebih rendah kerana kaedah penghakiman terhadap mangsa rogol mungkin tidak menggalakkan mereka memfailkan laporan polis.

Beliau berkata wanita Arab Saudi yang menjadi mangsa serangan seksual berkemungkinan enggan melaporkan kes-kes seperti itu kerana mereka menghadapi risiko dituduh melakukan zina.

Dalam laporan Harakah Daily pada Jumaat, Ketua Penerangan PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata bahawa undang-undang jenayah Islam telah terbukti menjadi penghalang terhadap jenayah.

Beliau berkata Arab Saudi hanya mencatatkan 2,669 kes jenayah pada 2012 berbanding dengan 63,221 kes di Malaysia antara Januari dan Mei tahun yang sama.

Seai Kie berkata terdapat banyak laporan mengenai ketidakadilan terhadap wanita di Arab Saudi.

"Beliau (Dr Mohd Khairuddin) hanya perlu mencarinya di Google dan puluhan artikel berita itu akan muncul," tambah beliau.

Seai Kie memetik beberapa kes untuk menyokong pendirian beliau. Antara kes tersebut melibatkan mangsa rogol beramai-ramai berusia 19 tahun yang telah didapati bersalah bagi kesalahan itu pada 2006.

Beliau berkata ini kerana undang-undang Syariah Arab Saudi menetapkan bahawa seorang wanita tidak boleh berada di khalayak ramai tanpa diawasi lelaki.

Gadis itu, yang pada mulanya dijatuhi hukuman 90 sebatan kerana tidak sopan, ditingkatkan hukuman kepada 200 sebatan dan enam bulan penjara selepas bercakap kepada media.

Malaysia, katanya, tidak boleh mempunyai dua set hukuman bagi kesalahan yang sama, kerana ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan