Hari Kraf Kebangsaan 2015 Janjikan Kelainan

Diterbitkan: Khamis, 26 Mac 2015 6:43 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Empat produk kraftangan tempatan rekaan terbaharu  menjadi tarikan utama sepanjang pameran sempena Hari Kraf Kebangsaan (HKK) yang berlangsung sehingga 7 April ini.

Produk berkenaan membabitkan anyaman, periuk tembaga, seramik dan barangan kemas serta aksesori.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Kraftangan Malaysia, Misroni Sulaiman berkata, sambutan kali ii berbeza  kerana pihaknya menonjolkan produk kraf rekaan baharu jenama Preka dengan konsep "futuristik".

"Walaupun konsep "futuristik" diterapkan ke dalam reka bentuk produk kraf, identiti tempatan masih dikekalkan, malahan ia tetap menjadi keutamaan," katanya ketika sesi lawatan media ke pameran HKK di Kompleks Kraf Jalan Conlay di sini, Khamis.

Tema HKK 2015 yang juga penganjuran ke-13 adalah Eco-Kraf Pelaburan Kesejahteraan. Ia disertai seramai 638 usahawan kraf seluruh negara yang menawarkan hasil tekstil tempatan kepada pengguna.

Tambah Misroni lagi, semua produk yang dipamerkan turut menggunakan kepakaran dan pengalaman usahawan tempatan untuk menghasilkan produk baharu.

Menurut pereka Bahagian Rekaan Hasil Rimba, Abdul Halim Ali, anyaman yang dihasilkan akan dipelbagaikan kepada beberapa rekaan seperti permainan kanak-kanak, beg tangan wanita, sarung bantal dan pakaian.

"Produk yang dihasilkan menampilkan kelainan kerana dianyam menggunakan rotan, mengkuang dan sedikit bahan campur untuk lebih menarik," katanya.

Sementara itu, pereka Bahagian Rekaan Unit Logam, Noorlaili Mohamad Mohed pula menjangkakan produk periuk tembaga kontemporari dari segi bentuk dan penggunaannya bakal menjadi perhatian sepanjang HKK kali ini.

"Kami mengambil inisiatif untuk memperbaharui dan menghasilkan periuk tembaga untuk kegunaan harian, misalnya periuk tembaga lengkap dengan penutup kaca yang memiliki ciri-ciri istimewa seperti melambatkan makanan menjadi sejuk kerana berupaya mengumpul haba dalam tempoh lama, malahan ia turut dijual kepada orang ramai," katanya.

Disamping itu, kata pereka Bahagian Rekaan Unit Logam, Sohibul Azri Ahmad, kraf seramik yang pertama kali dipamerkan juga istimewa kerana menampilkan pelbagai rekaan baharu dan dijual pada harga berpatutan berbanding di pasaran luar.

Bagi penggemar barang kemas pula, menurut Noor Iza Kassim yang bertanggungjawab di Bahagian Rekaan Unit Reka Logam, barangan kemas yang dipamerkan terdiri daripada rantai leher dan gelang tangan yang disertakan dengan mutiara air tawar dari Sabah.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan