Penggunaan Kamera Retina Mampu Atasi Buta - Dr Hilmi

Diterbitkan: Khamis, 26 Mac 2015 5:52 PM

Dr Hilmi Yahaya (duduk, kanan) membuat pemeriksaan mata dengan menggunakan Fundus Camera pada majlis penyerahan Fundus Camera dan perasmian 'Retinal Disease Awareness Programme 2015' di Hospital Selayang pada Khamis. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dua Kamera Retina dan beberapa peralatan penyaringan tambahan lain sumbangan Standard Chartered Scope International (M) Sdn Bhd akan banyak membantu dalam usaha merawat pelbagai penyakit berkaitan retina, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Beliau berkata kamera bernilai RM150,000 itu akan digunakan sebagai pelopor dan perintis bagi Program Kesedaran Penyakit Retina (RDAP) di Kuala Lumpur dan Selangor, yang kemudian akan diperluas ke seluruh negara.

"Bagi penyakit retina, membuat penyaringan adalah jauh lebih sukar kerana retina terletak di belakang mata dan tidak mudah dilihat. Di peringkat antarabangsa, perakuan dibuat bahawa kamera retina adalah alat yang amat berkesan dan penting bagi menyaring penyakit retina," katanya pada majlis pelancaran Standard Chartered RDAP 2015 dan penyerahan kamera itu kepada Hospital Selayang di sini Khamis.

Turut hadir, Pengarah Hospital Selayang Dr Siti Zaleha Mohd Salleh, Ketua Perkhidmatan Oftalmologi Kebangsaan Dr Nor Fariza Ngah, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Bank Malaysia Mahendra Gursahani dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Scope International (M) Sdn Bhd, Kwan Chee Sun.

Melalui program RDAP, pakar mata, pakar optometri, paramedik dan doktor penjagaan utama dari kementerian itu akan berganding bahu dengan Standard Chartered untuk mengadakan siri penyaringan penyakit retina sepanjang 2015 dan 2016 untuk mengenal pasti mereka yang menghidap retinopati diabetes.

Program itu menetapkan sasaran untuk membuat saringan terhadap 10,000 pesakit berpotensi yang terdiri daripada penghidap diebetes dari kawasan pinggir Kuala Lumpur, Selangor dan kawasan luar bandar lain di negara ini.

Dr Hilmi berkata kira-kira setengah juta pesakit diabetes di Malaysia mengalami beberapa jenis retinopati, yang jika tidak dirawat, boleh menyebabkan buta berkekalan.

"Retinopati diabetes dikenali di seluruh dunia sebagai punca utama buta kekal dan tidak boleh diubati. Bagi pesakit yang mengalami diabetes mellitus, paras tinggi kandungan gula di dalam darah secara berterusan akan menyebabkan pembuluh darah di dalam retina mengecil, berdarah atau bocor," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada Standard Chartered kerana komitmennya dalam projek itu.

Sementara itu, Kwan berkata 2,000 daripada staf sukarelanya akan mengambil bahagian dalam program berkenaan dengan menyertai wakil daripada hospital di pusat penjagaan utama untuk mengadakan jerayawara dan mendampingi pesakit berpotensi setiap minggu.

"Kami berharap, dengan terdapatnya peralatan dan tenaga kerja tambahan ini, kami akan dapat memberi kesan positif terhadap masyarakat tempatan bagi mencerminkan komitmen kami terhadap inisiatif global bank berkenaan, 'Seeing Is Believing', yang bertujuan menangani masalah buta dan cacat penglihatan yang boleh dielak".

Tags / Kata Kunci: kamera retina , Dr Hilmi Yahaya

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan