Kerajaan Persekutuan Setuju Hudud Kelantan - Takiyuddin

Diterbitkan: Rabu, 25 Mac 2015 7:02 PM

Takiyuddin Hassan

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan sedar dan bersetuju dengan kandungan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang diluluskan PAS Kelantan pada 19 Mac lalu.

Ketua Sekretariat Tetap Hudud Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, persetujuan itu dicapai menerusi jawatankuasa teknikal bersama negeri dan persekutuan bagi mengkaji pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

“Telah dipersetujui...kandungannya dipersetujui oleh kerajan Pesekutuan,” katanya ketika ditemui di bangunan Parlimen di sini, Rabu.

Selain itu, Takiyuddin yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat berkata, berdasarkan persetujuan berkenaan, Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengemukakan notis untuk membawa usul persendirian berhubung hudud kepada pejabat Setiausaha Dewan Rakyat.

"Saya nak tegaskan bahawa pada 18 Mac baru-baru ini, Ahli Parlimen Marang memasukkan satu usul bagi membawa rang undang-undang persendirian untuk meminta Parlimen meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Hadi yang juga Presiden PAS dijangka membentangkan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat selewat-lewatnya 9 pada April ini bagi membolehkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) Pindaan 2015 dilaksanakan di Kelantan.

Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) Pindaan 2015 diluluskan sebulat suara dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 19 Mac lalu.



Tags / Kata Kunci: hudud , Takiyuddin Hassan , Abdul Hadi Awang

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan