Penetapan Kadar Gaji Minimum Baharu Tunggu Kelulusan Kabinet

Diterbitkan: Rabu, 25 Mac 2015 4:58 PM

Richard Riot

Richard Riot Jaem.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia sedang menunggu kelulusan Kabinet mengenai penetapan kadar gaji minimum yang baharu.

Menterinya Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata satu kajian semula telah dilakukan melalui Majlis Perundingan Gaji Negara dengan mengadakan perbincangan bersama majikan dan pekerja selain mengambil kira kenaikan kos sara hidup yang dihadapi rakyat pada masa ini.

"Mengikut Perintah Gaji Minimum 2012, kajian atau review hendaklah dibuat dua kali setahun...kajian telahpun disediakan dan hanya menunggu kelulusan kabinet.

"Kertas Kabinet telah disediakan, saya tidak berani sebutkan (kadar gaji minimum baharu) di sini (Dewan Rakyat)," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian itu pada persidangan Dewan Rakyat, Rabu.

Bagaimanapun, beliau mendedahkan dalam kajian itu, kadar gaji minimum bagi Sabah dan Sarawak tidak dapat disamakan dengan kadar gaji minimum di Semenanjung Malaysia.

"Dalam kajian itu telah dibangkit mengenai gaji minimum untuk Sabah dan Sarawak hendaklah sama, tetapi jawatankuasa teknikal telah memutuskan bahawa untuk Sabah dan Sarawak tidak dapat disamakan (dengan Semenanjung Malaysia)," katanya.

Ketika ini, kadar gaji minimum bagi Semenanjung Malaysia ialah sebanyak RM900 sebulan atau RM4.33 sejam manakala bagi Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak RM800 sebulan atau RM3.85 sejam.

Dalam pada itu, Riot berkata kadar gaji minimum yang dilaksanakan sepenuhnya pada 1 Januari 2014 telah mencapai kejayaan, berdasarkan hanya satu peratus majikan sahaja yang gagal melaksanakan kadar gaji minimum.

Katanya, sehingga 31 Januari 2015, sebanyak 42,297 pemeriksaan berkanun telah dilaksanakan Jabatan Tenaga Kerja dengan 587 daripadanya atau satu peratus majikan didapati tidak melaksanakan gaji minimum.

Tindakan notis pematuhan telah dilakukan kepada majikan terbabit, katanya. 

Sementara itu, Riot berkata kerajaan telah menubuhkan satu jawatankuasa sebagai medium menangani isu buruh di Malaysia Airlines (MAS) dalam penstrukturan semula dan pemulihan MAS.

Katanya, jawatankuasa itu akan dianggotai oleh Kementerian Sumber Manusia; Khazanah Nasional Berhad; Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Perbadanan Nasional Berhad dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit.

Tags / Kata Kunci: Richard Riot Jaem , gaji minimum

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan