“Ibarat Mati Hidup Semula” – Pengakuan Banduan Peroleh Pengampunan Sultan Johor

Diterbitkan: Rabu, 25 Mac 2015 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Bayangkan setiap hari selama 11 tahun dia hidup meringkuk dalam penjara kerana kesalahan membunuh pada 2004, dan kurang seminggu lalu khabar gembira diterima mengenai pembebasannya yang dijadualkan berlaku pada 19 Mac selepas mendapat pengampunan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar. 

“Sampai sekarang, saya masih tak percaya, ibarat mati hidup semula. Tetapi saya bersyukur kepada Allah di atas nikmat yang amat besar ini dan saya berterima kasih yang tidak terhingga kepada Sultan Johor kerana memberi saya peluang keemasan ini,” kata Ismail (bukan nama sebenar), ketika dihubungi mStar Online.

Pemuda ini adalah salah seorang daripada 11 banduan yang diberi pengampunan oleh Sultan Ibrahim sempena Istiadat Kemahkotaan baginda pada Isnin.

Anak kelahiran Johor Baru ini juga satu-satunya banduan yang mendapat pembebasan,  manakala 10 banduan lain diringankan hukuman gantung sampai mati kepada penjara seumur hidup.

“Saya begitu terharu dengan kemurahan hati Sultan Johor. Walaupun pertama kali menghadap Sultan Johor tetapi saya dapat merasakan keperibadian baginda yang dekat di hati rakyat.

“Saya masih ingat antara nasihat baginda supaya melupakan kisah lama dan memulakan kehidupan baharu serta berjasa kepada semua terutama keluarga sebagai insan berguna. Saya akan berusaha sebaik mungkin,” katanya yang mengakui sebak sehingga tidak dapat menahan air mata ketika mendengar nasihat itu ketika menghadap Sultan Johor pada Khamis lalu.

Anak keempat daripada tujuh beradik ini masih berstatus juvana ketika ditahan kerana kes bunuh kira-kira 11 tahun lalu dan direman sehingga 2010 sebelum dijatuhkan hukuman di atas kesalahan itu.

Pemuda berusia 27 tahun ini dikenakan tahanan limpah sultan (detention under pleasure of ruler) di mana dia ditahan sehingga menunggu pengampunan. Ismail berhadapan hukuman ini kerana ketika melakukan kesalahan, dia berumur kurang 18 tahun dan tidak boleh dikenakan hukuman mati.

Menurut Ismail, dia merasai pelbagai pengalaman dan cabaran sepanjang dipenjarakan dari Penjara Simpang Renggam, Ayer Molek, Kluang sehingga ke Kajang.

“Banyak susah dan pahit yang saya rasai semasa dipenjara selama 11 tahun ini. Ia benar-benar mengajar saya tentang erti kehidupan. Tak mungkin saya mahu kembali lagi setelah apa yang telah dilalui.

“Cukuplah apa yang sudah berlaku. Saya sekarang mahu mencari ketenangan bersama keluarga dan masyarakat. Saya bersyukur kerana masih diterima dan disayangi keluarga,” katanya yang mempunyai pengalaman bekerja di bengkel percetakan di Penjara Kajang.

Penggemar novel karya Ramlee Awang Murshid ini tidak henti-henti mengucapkan kesyukuran dan berterima kasih di samping meminta supaya semua pihak terus memberikan sokongan.

“Saya masih terkejut tetapi saya bersyukur. Terima kasih kepada semua pihak yang terus memberi semangat kepada saya untuk menjalani kehidupan baharu. Doakan saya,” kata Ismail.

Sementara itu, kakak sulung Ismail yang hanya mahu dikenali sebagai Zila, 31, berkata,  keluarganya tidak menyangka mendapat berita gembira mengenai pembebasan adiknya itu daripada pihak penjara, kira-kira tiga hari sebelum menghadap Sultan Johor.

“Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan kami ketika itu. Walaupun dia (Ismail) dipenjara atas apapun sebab atau kesalahan yang dilakukannya, tetapi dia masih sebahagian daripada keluarga kami,” katanya sambil menambah mereka sekeluarga membuat kenduri kesyukuran selepas mendapat berita gembira itu.

Berkongsikan pengalamannya, Zila berkata, keluarganya tidak pernah melupakan Ismail dan sering melawatnya di penjara setiap tahun terutama pada Hari Raya Aidilfitri.

Setiap kali melawat, buah tangan berupa buku dan novel tidak pernah lupa dibawa bersama untuk Ismail mengisi masa lapang, selain beriadah dan menjalani aktiviti-aktiviti lain.

Menurut Zila, dia sekeluarga akan memastikan hubungan kekeluargaan terus dipereratkan dan memberi lebih perhatian kepada Ismail sejak adiknya itu dibebaskan.

“Kami sekeluarga tahu dia masih terkejut dengan perubahan ini, tetapi kami sentiasa menyokongnya supaya dia kembali bersemangat untuk meneruskan kehidupan dengan berfikiran positif,” katanya sambil menyifatkan adiknya sebagai seorang yang peramah dan mudah didekati.

Pada 5 Mac lalu, Sultan Ibrahim berkenan mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan Negeri Johor.

Mesyuarat terbabit telah menimbangkan 10 kes rayuan pengampunan hukuman mati di bawah Peraturan 114, Peraturan-Peraturan Penjara 2000 dan 13 kes Kajian Hukuman Empat Tahun Sekali (KHETS) di bawah Peraturan 54, Peraturan-Peraturan Penjara 2000.

 

Mesyuarat tersebut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail bersama-sama tiga orang Ahli Lembaga Pengampunan Negeri Johor yang dilantik Sultan Johor.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan