"Saya Tak Pernah Dapat Satu Sen Pun" - Sumpah Ahmad Zahid

Diterbitkan: Selasa, 24 Mac 2015 6:04 PM

Ahmad Zahid Hamidi

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat pada Selasa dikejutkan dengan tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang bersumpah bahawa beliau tidak pernah menerima sebarang habuan daripada pakar judi, Paul Phua Wei Seng.

Malahan, beliau juga menegaskan tidak pernah menerima "walau sesen" daripada individu berkenaan selepas menulis surat pelepasan statusnya kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

“Sebagai seorang Islam, wallahi wabillahi wattallahi saya tak pernah mendapat kepentingan satu sen pun daripada penjudi berkenaan. Malah saya tak pernah bersengkogkol dengan orang itu.

“Saya tak pernah terima sebarang duit haram, saya tak pernah buat begitu,” katanya ketika menggulung perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat di sini.

Isu berhubung surat pelepasan status Paul Phua yang ditulis Ahmad Zahid atas kapasitinya sebagai menteri kepada FBI menjadi topik perbahasan hangat di Dewan Rakyat oleh wakil rakyat pembangkang.

Antaranya, mereka mempersoalkan keperluan surat berkenaan malah mendakwa Ahmad Zahid mempunyai kepentingan tertentu dalam kes tersebut.

Ketika ucapannya, Ahmad Zahid turut mengakui menulis surat kepada FBI yang sedang menghadapi pertuduhan di Amerika Syarikat.

Tegasnya surat yang ditulis kepada Timbalan Pengarah FBI, Mark F. Giuliano pada 18 Disember tahun lepas adalah untuk menjelaskan status Paul Phua.

Tambah Ahmad Zahid lagi, tindakannya menulis surat kepada FBI dibuat secara profesional berdasarkan perjanjian antara Malaysia dengan negara luar, khususnya berkaitan isu perkongsian maklumat keselamatan.

"KDN dari masa ke masa sentiasa menerima permohonan pelbagai agensi kerajaan asing untuk membuat semakan atau tapisan ke atas rakyat negara ini berhubung isu keselamatan.

“Sehubungn itu saya mohon perkara ini tidak dieksploitasi oleh mana-mana pihak. Surat tersebut dibuat secara profesional dan berdasarkan hasil siasatan polis.

“Saya juga menegaskan bahawa pada bila-bila masa pun saya tak pernah mempunyai hubungan dengan Paul Phua...malah tidak pernah mengenali beliau,” katanya.

Paul Phua serta anaknya, Darren Wai Kit Phua kini dalam tahanan rumah di Amerika Syarikat dan menghadapi pertuduhan di mahkamah negara itu atas kesalahan penghantaran maklumat pertaruhan dan menjalankan kegiatan perjudian tidak sah di Las Vegas semasa Piala Dunia 2014 lalu.

Paul Phua yang cukup terkenal dalam sirkit permainan poker profesional, pernah mengambil bahagian dalam kejohanan Big One For One Drop dalam Siri Poker Dunia 2012.

Beliau menduduki tempat keenam dalam European Poker Tour Grand Final Monte Carlo 100k Super High Roller 2014 dan disyaki terlibat dengan kegiatan kongsi gelap 14K Triad, sebuah kumpulan kongsi gelap dan sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Berikutan penahanan Paul Phua, firma guamannya, Chesnoff & Schonfeld memohon Ahmad Zahid mengeluarkan surat kepada Giuliano untuk mengesahkan yang lelaki itu bukan seorang anggota kongsi gelap itu, malah ia juga tidak wujud di Malaysia. 


Tags / Kata Kunci: Paul Phua , Ahmad Zahid Hamidi , FBI , Dewan Rakyat

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan