Pembatalan Kidex Wujudkan Dilema Kepada Pelabur - Fadillah

Diterbitkan: Selasa, 24 Mac 2015 3:49 PM

Fadillah Yusof.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pembatalan projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) akan mewujudkan dilema kepada syarikat swasta untuk melabur dalam pembinaan lebuh raya di Selangor.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ia sekali gus bakal merencatkan usaha kerajaan persekutuan untuk menyelesaikan masalah kesesakan trafik yang dihadapi rakyat di Lembah Klang. 

"Kami kena lihat implikasi pembatalan tersebut kerana proses telah berjalan, bagaimana nanti pelaburan akan datang, adakah orang akan berani melabur di Selangor untuk membuat lebuh raya, untuk membuat perancangan pengangkutan awam?. Itu akan jadi dilema nanti di peringkat pihak swasta," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong peringkat Kementerian Kerja Raya pada persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.

Katanya kerajaan persekutuan sentiasa berusaha menyelesaikan aduan rakyat mengenai masalah kesesakan lalu lintas di Lembah Klang termasuk melalui pelaksanaan Kidex dan Projek Mass Rapid Transit (MRT).

Fadillah berkata pelaksanaan projek Kidex perlu dilihat secara holistik kerana ia bukan hanya mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas, malah memberi manfaat dan kesan limpahan sosioekonomi kepada kerajaan negeri dan juga Malaysia.

"Keputusan kerajaan negeri untuk membatalkan (Kidex), kami hormati kerana ia memang hak kerajaan negeri, pada kami (kerajaan persekutuan) akan melaksanakan projek yang memberi manfaat kepada rakyat.

"Kami sememangnya menerima aduan rakyat mengatakan kami kena selesaikan masalah kesesakan yang mereka tempuhi setiap hari, sebab itu kami pertimbangkan penyelesaian ini (projek Kidex) yang ditawarkan oleh pihak swasta, yang dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor dan telah menerima kelulusan bersyarat pada 23 Februari 2012," katanya.

Tegasnya, kerajaan negeri Selangor perlu mencari kaedah bagi mengatasi masalah dihadapi rakyat ketika ini kerana membatalkan projek berkenaan.

Mengenai pendirian kerajaan persekutuan sama ada akan membatalkan projek berkenaan, Fadillah berkata ia memerlukan kajian mendalam selain kementeriannya perlu mendapatkan pandangan daripada Pejabat Peguam Negara mengenai kesan perundangan akibat pembatalan projek berkenaan.

"Di peringkat persekutuan, kami boleh batalkan bila mereka (syarikat konsesi) tidak mematuhi semua syarat yang ditetapkan, tetapi dalam kes ini mereka sebenarnya telah mematuhi semua syarat dalam perjanjian, jadi adakah kami boleh batalkan...kalau kami sengaja batalkan, mungkin kami didedahkan risiko perundangan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata kementeriannya dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) sedang mengadakan kerjasama rapat bagi mengkaji penggunaan getah dalam industri pembinaan jalan.

Katanya ia bagi mengenal pasti prestasi dan keberkesanan penggunaan getah untuk turapan jalan.

"Diharapkan melalui kerjasama ini akan dapat membantu meningkatkan penggunaan getah asli dalam industri pembinaan jalan, sekali gus membantu menstabilkan harga getah pasaran," katanya.

Tags / Kata Kunci: Kidex , Fadillah Yusof

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan