Kegagalan 1Azam, PAC Panggil Dua Individu

Diterbitkan: Selasa, 24 Mac 2015 6:59 PM

Nur Jazlan.

Nur Jazlan Mohamed.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil dua individu dalam masa terdekat untuk memberi keterangan berhubung kegagalan pelaksanaan Program 1Azam yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2013.

Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata mereka ialah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noorul Ainul Mohd Nur dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Datuk Syed Abdul Rahman Syed Mohamad.

"Hari ini, PAC mendengar penjelasan daripada KSU (Ketua Setiausaha) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Sabariah Hassan dan KSU Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Arif Abdul Rahman serta penjelasan daripada YKN yang ada kena mengena dengan pelaksanaan program 1Azam ini.

"PAC mendapati penjelasan yang diberikan kedua-dua KSU ini lebih kepada penambahbaikan yang dibuat... (mereka) dilantik menjadi KSU kementerian pada 2014 dan mereka tidak terlibat dalam menguruskan program ini sewaktu mula diwujudkan pada 2010," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di bangunan Parlimen di sini, Selasa.

Nur Jazlan berkata antara kelemahan yang didapati dalam pelaksanaan 1Azam itu ialah pemilihan peserta tidak dibuat menerusi sistem eKasih yang menyebabkan peserta terpilih bukan dalam kalangan kumpulan sasar.

Selain itu, katanya justifikasi kepada pemilihan pembekal barangan tidak dibuat dan peralatan tidak dimanfaatkan peserta, wujud peserta yang tidak dapat dikesan, peraturan perolehan tidak digunakan dalam memilih pembekal barangan kepada peserta dan terdapat projek yang gagal.

"Isu ini banyak berkisar daripada segi soal SOP (Prosedur Operasi Standard) dan peraturan kerajaan yang tidak diikuti. 

"Oleh itu, kita hendak panggil Datuk Seri Dr Noorul Ainul Mohd Nur yang menguruskan Program 1Azam pada 2010 kerana banyak perkara beliau kena jawab mengapa tidak ikut tatacara yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Mengulas mengenai isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Nur Jazlan berkata beliau belum berkesempatan berjumpa Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang untuk membincangkan skop dan tempoh kerja bagi mencegah sebarang pertindihan siasatan terhadap isu berkenaan.

"Saya tidak sempat lagi berjumpa sebab beliau sedang sibuk sekarang," katanya.
Tags / Kata Kunci: PAC , 1Azam

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan