Pejabat Kesihatan Kedah Masih Tunggu Keputusan Ujian 13 Jemaah

Diterbitkan: Selasa, 24 Mac 2015 9:19 PM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Pejabat Kesihatan Negeri Kedah masih menunggu keputusan ujian makmal berhubung 'Influenza Like Illness' atau gejala seakan influenza (ILI) yang dipercayai menyerang 13 jemaah yang baru pulang daripada menunaikan umrah Ahad lepas.

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Norhizan Ismail berkata kesemua jemaah itu berasal daripada Kuala Nerang, dengan 15 daripada mereka telah mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Kuala Nerang (HKN).

"Tiga belas yang mendapatkan rawatan di HKN telah dirujuk untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), manakala dua jemaah hanya menerima rawatan pesakit luar," katanya di dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

Beliau berkata 13 jemaah yang kini berada di HSB telah dimasukkan ke wad isolasi dan berada dalam keadaan stabil, selain sentiasa berada di bawah pemerhatian Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit HSB.

Keputusan awal sampel darah mereka terhadap Sindrom Pernafasan Timur Tengah-Virus Korona (MERS-CoV) adalah negatif, manakala keputusan ujian bagi virus Influenza dan Influenza A(H1N1) hanya diketahui esok," katanya.

Katanya, ujian makmal telah dijalankan di Makmal HSB dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh, Selangor.

Pejabat Kesihatan Kedah juga sedang mengesan 33 jemaah lain yang turut pulang bersama-sama 15 jemaah terbabit, katanya.

Dr Norhizan menasihatkan jemaah supaya mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi dengan kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun terutamanya selepas batuk, bersin dan selepas bersalaman selain membawa penutup mulut dan hidung.
Tags / Kata Kunci: ILI , jemaah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan