Lebih 1,000 Peniaga Dalam Talian Dikesan Tidak Daftar Dengan SSM

Diterbitkan: Selasa, 24 Mac 2015 6:30 PM

Zahrah Abd Wahab Fenner.

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengesan 1,330 peniaga daripada 4,112 peniaga dalam talian di seluruh negara masih belum berdaftar dengannya setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Zahrah Abd Wahab Fenner berkata penemuan SSM  itu berdasarkan urusniaga yang dilakukan melalui laman sosial seperti Facebook dan Mudah.my selain apa-apa medium pengiklanan secara dalam talian.

"Ini bertujuan untuk melindungi pengguna daripada sebarang unsur penipuan pembelian secara dalam talian.

Walau bagaimanapun, kami akan memberi didikan tentang kepentingan mendaftar perniagaan kepada para peniaga sebelum mengenakan sebarang tindakan terhadap mereka," katanya selepas merasmikan Kempen Mengutamakan Syarikat Patuh di sini Selasa.

Selain itu, beliau berkata SSM juga akan memperhebatkan lagi pelbagai kempen kesedaran di kalangan orang ramai mengenai aspek kepatuhan syarikat bagi memastikan urusan perniagaan mereka berjalan lancar.

"Baru-baru ini, SSM telah menganjurkan program di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan menjemput para pelajar yang mengambil kursus berkaitan dengan keusahawanan.

Program ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dan SSM akan memperluaskannya di Institut Pengajian Tinggi Awam yang lain dalam tempoh terdekat ini," katanya.

Pendekatan SSM dengan melibatkan interaksi secara langsung bersama pelajar universiti ini adalah kerana mereka antara golongan majoriti yang melakukan perniagaan secara dalam talian, katanya. 

Tags / Kata Kunci: SSM , Zahrah Abd Wahab Fenner

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan