Bekas PM Singapura Lee Kuan Yew Meninggal Dunia

Diterbitkan: Isnin, 23 Mac 2015 7:10 AM

Lee Kuan Yew. -foto The Straits Times/ANN

(Ubah saiz teks)

SINGAPURA: Perdana Menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew telah meninggal dunia pada pukul 3.18 pagi Isnin di Hospital Besar Singapura.

Beliau berusia 91 tahun.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri, anaknya iaitu Lee Hsien Loong, amat berdukacita dengan kematian Kuan Yew.

Hsien Loong dipetik sebagai berkata, proses pengebumian dan urusan tempat untuk orang ramai memberikan penghormatan terakhir akan diumumkan kemudian.

Kuan Yew dimasukkan ke unit rawatan rapi hospital itu pada 5 Februari lalu kerana radang paru-paru yang serius.

Dilahirkan pada 16 September 1923, di Singapura, Kuan Yew dikenali sebagai pengasas Singapura moden, dengan mengetuai kerajaan lebih daripada tiga dekad, menjadikan beliau antara perdana menteri paling lama berkhidmat di dunia.

Sebagai pengasas bersama dan setiausaha agung pertama People's Action Party (PAP) (Parti Tindakan Rakyat), mendiang memimpin parti itu mencapai lapan kemenangan dalam pilihan raya antara tahun 1959 hingga 1990.

Beliau juga menyaksikan pemisahan Singapura dari Malaysia pada tahun 1965.

Sebagai seorang pemimpin yang mempunyai visi besar dan berani, Kuan Yew berjaya menjadikan Singapura sebuah bandar raya negara bertaraf dunia.

Kuan Yew meletak jawatan sebagai perdana menteri pada tahun 1990 dan dilantik sebagai menteri kanan oleh Perdana Menteri kedua Singapura, Goh Chok Tong.

Pada Ogos 2004, Kuan Yew memegang jawatan sebagai penasihat atau menteri mentor dalam kerajaan yang dipimpin anaknya, perdana menteri sekarang Lee Hsien Loong.

Mendiang merupakan lulusan undang-undang Ijazah Kelas Pertama Kepujian daripada Universiti Cambridge pada tahun 1949.

Sepanjang memegang jawatan perdana menteri, menteri kanan dan penasihat lebih daripada 50 tahun, Kuan Yew merupakan antara tokoh politik paling berpengaruh di Asia.

Kuan Yew mengumumkan persaraannya daripada jawatan kabinet pada 14 Mei 2011 selepas pilihan raya umum tahun itu tetapi kekal sebagai anggota Parlimen.

Isterinya, Kwa Geok Choo, meninggal dunia pada 2010 ketika berusia 89 tahun.

Tags / Kata Kunci: Lee Kuan Yew , Lee Hsien Loong

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan