Pengundian PRK DUN Chempaka Bermula

Diterbitkan: Ahad, 22 Mac 2015 8:14 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Sembilan buah sekolah di sini mula dibuka 8 pagi ini untuk membolehkan 20,390 pemilih mengundi pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka.

Sembilan sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gajah, SK Sabak, SK Parang Puting, SK Kem, SK Che Deris, SK Seri Chempaka, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badang, SMK Pengkalan Chepa, dan Sekolah Menengah Agama Tengku Amalin A'ishah Putri Chempaka.

Proses pengundian akan berlangsung sehingga pukul 5 petang.

PRK DUN Chempaka menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon PAS dan empat calon bebas.

PAS diwakili Ketua Urusan Ulama PAS DUN Chempaka, Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad, 42.

Empat calon bebas terdiri daripada bekas pensyarah Izat Bukhary Ismail Bukhary, 48; bekas Naib Presiden Perkasa Kelantan Sharif Mahmood, 59; Yang Dipertua Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Fadzillah Hussin, 55, dan ahli perniagaan Aslah Mamat, 64.

PRK ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 84, pada 12 Februari lepas.

Pada proses pengundian awal pada 18 Mac lepas, sejumlah 35.40 peratus atau 530 orang daripada 1,497 pengundi awal daripada kalangan anggota tentera dan pasangan mereka telah menunaikan tanggungjawab mereka.

Barisan Nasional (BN) tidak bertanding pada PRK ini kerana memberi tumpuan kepada kerja-kerja pemulihan pasca banjir setelah Kelantan dilanda banjir luar biasa pada Disember tahun lepas.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan