95 Kes Kematian Akibat Denggi Bagi Januari-18 Mac - KP Kesihatan

Diterbitkan: Sabtu, 21 Mac 2015 2:40 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Sebanyak 95 kes kematian akibat denggi direkodkan bagi Januari hingga 18 Mac lepas, berbanding 50 kes bagi tempoh sama pada 2014 iaitu peningkatan 90 peratus atau 45 kes, menurut Kementerian Kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak  30,033 jumlah kumulatif atau terkumpul kes demam denggi direkodkan di seluruh negara bagi tempoh itu.

Jumlah itu meningkat sebanyak 42 peratus atau 8,922 kes berbanding 21,111 kes bagi tempoh sama tahun lalu, katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu.

"Berikutan kes demam denggi dan kematian akibat denggi masih tinggi, kementerian menyeru orang ramai segera mendapatkan rawatan di klinik dan hospital jika mengalami gejala demam denggi seperti demam, sakit badan, sakit kepala, muntah, loya dan gusi berdarah," katanya.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata terdapat trend penurunan kes yang dilaporkan setiap minggu sejak empat minggu lalu.

"Daripada pemantauan, pada minggu ke-10 tahun 2015, iaitu dari 8 sehingga 14 Mac, sejumlah 2,275 kes demam denggi dilaporkan berbanding 2,643 kes pada minggu sebelumnya".

Katanya, sejumlah 902 lokaliti wabak yang masih aktif dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga bulan ini dan daripada jumlah itu 259 lokaliti adalah lokaliti hotspot iaitu di Selangor (214), Perak (38), Sabah (enam), manakala Pulau Pinang (satu).

Dr Noor Hisham juga meminta pengamal perubatan di hospital atau klinik swasta menjalankan ujian darah sebagai pengesahan untuk kes yang disyaki denggi atau didiagnosis sebagai denggi.

"Terdapat dua syarikat menawarkan Combo Rapid Test Kit dengan harga rendah kepada pengamal perubatan swasta untuk ujian darah bagi NS1, IgM dan IgG," katanya.

Maklumat lanjut tentang produk itu boleh diperoleh menerusi laman sesawang Persatuan Perubatan Malaysia iaitu www.mma.org. -- Bernama


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan