"Litar Lumba Sepang Sesuai Jika YB Nak Pandu Laju"

Diterbitkan: Khamis, 19 Mac 2015 1:15 PM

Rosnah Rashid Shirlin

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Gara-gara menggesa kerajaan meningkatkan had laju kebangsaan di lebuh raya, seorang ahli parlimen pembangkang diminta memandu kenderaannya di litar lumba Sepang.

Cadangan itu dibuat Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin kepada Mohamad Imran Abd Hamid (PKR-Lumut) yang mahu kerajaan meningkatkan had laju sedia ada kepada 150 kilometer sejam (km/jam).

“Jika Yang Berhormat (YB) nak bawa kenderaan lebih laju sehingga 150 km sejam...kita ada litar lumba Sepang untuk YB sebab ia sememangnya dibina untuk kenderaan yang berkelajuan tinggi,” katanya.

Terdahulu Mohamad Imran berkata, Malaysia perlu meningkatkan had laju kenderaan selaras dengan yang dilakukan di negara-negara maju.

Mohamad Imran juga membangkitkan isu kebanjiran kenderaan mewah berteknologi tinggi yang memerlukan pemandunya memandu dengan had laju melebihi jumlah yang dibenarkan.

“Saya tak paham kenapa negara kita tak boleh naikkan had laju mengikut panduan untuk pemandu-pemandu yang memiliki kereta-kereta mewah seperti Mercedes, Porsche, BMW dan sebagainya.

“Saya simpati dengan mereka, bagaimana mereka nak memandu. Kalau betul kita nak jadi negara maju, kita kena majukan kelajuan kereta…jika tak sekarang sekurang-kurangnya menjelang tahun 2020,” katanya.

Menjelaskan mengenai isu itu, Rosnah berkata pada masa ini kerajaan tidak bercadang untuk meningkatkan had laju maksimun yang ditetapkan atas faktor keselamatan.

“Secara hakiki kita tahu semakin laju kenderaan, semakin tinggi risiko kemalangan. Malah cadangan YB untuk mengadakan kelajuan berbeza di setiap lorong akan menimbulkan konflik,” katanya.

Terdahulu menerusi soal asal, Mohamad Imran turut mencadangkan supaya kerajaan menetapkan had laju berlainan di setiap lorong di lebuh raya dengan lorong kiri ditetapkan pada kelajuan 110km/jam, lorong tengah (110-130km/jam) dan lorong kanan (130-150km/jam).

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan