Lima Syarikat Serah Kontrak Sertai DSA 2016

Diterbitkan: Khamis, 19 Mac 2015 3:21 PM

(Ubah saiz teks)

LANGKAWI: Lima syarikat menyerahkan kontrak untuk menyertai Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia Ke-15 (DSA 2016) selama empat hari mulai 18 April 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur.

Syarikat tersebut ialah AVP Engineering Malaysia Sdn Bhd, Sapura Secured Technologies, Destini Bhd, Weststar Group of Companies dan SME Ordnance Sdn Bhd.

Mereka menyerahkan kontrak tersebut kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam sebuah majlis di ruang pameran DSA 2016 di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2015 (Lima'15) di sinim Khamis.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohd Radzi, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Pengerusi DSA Exhibition and Conference Sdn Bhd, Tan Sri Asmat Kamaludin.

Menurut DSA dalam kenyataan, kontrak penajaan dan penyertaan yang ditandatangani daripada lima syarikat tersebut melibatkan sejumlah 1,300 meter persegi ruang pameran.

Setakat ini, 70 peratus daripada jumlah ruang pameran telah dibeli oleh 700 syarikat.

Disenaraikan sebagai yang terbesar di Asia dan satu daripada pameran keselamatan dan pertahanan kelima terbesar di dunia, DSA 2016 dijangka mencatat satu lagi kejayaan pada tahun depan.

Acara itu akan mempamerkan perkhidmatan serta teknologi keselamatan dan pertahanan yang canggih dari seluruh dunia.

Acara kemuncak DSA 2016 termasuk Perbincangan Meja Bulat Panglima Tentera Darat, Persidangan Keselamatan Siber, Bantuan Kemanusiaan dan Bencana, Asean Hall, mesyuarat perniagaan kepada perniagaan, perubatan tempur, pusat inovasi, pesawat udara tanpa pemandu dan demonstrasi robot tempur.-- Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan