Hudud Di Kelantan Tidak Bantu Perpaduan - Peguam

Diterbitkan: Rabu, 18 Mac 2015 10:46 AM

Andrew Khoo

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Aktivis undang-undang telah menyatakan tentangan terhadap pindaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 yang akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan.

"Ia tidak akan membantu dalam perpaduan negara dan mewujudkan perbezaan ketara di antara orang Islam dan bukan Islam," kata Pengerusi Majlis Hak Asasi Majlis Peguam, Andrew Khoo.

Khoo mempersoalkan bagaimana seseorang itu boleh menyokong undang-undang hudud apabila ia akan memecah belahkan masyarakat dengan cara yang sangat ketara.

"Seorang muslim yang telah melakukan jenayah akan berdepan satu set hukuman yang berbeza dengan hukuman untuk orang bukan Islam.

"Ini kemudiannya akan mencetuskan panggilan supaya orang bukan Islam diletakkan di bawah undang-undang hudud, yang akan mencetuskan satu lagi bentuk ketidakadilan kerana undang-undang hudud tidak akan dikenakan ke atas penganut bukan Islam," katanya.

Khoo berkata, pindaan itu boleh menjejaskan usaha perpaduan negara.

"Undang-undang Syariah tidak pernah menjadi isu kerana ia berkenaan perkara-perkara peribadi keluarga.

"Apabila Perlembagaan telah digubal, ia hanya bercakap tentang undang-undang persendirian. Kita tidak bercakap mengenai undang-undang mana yang lebih adil atau kurang adil. Saya bercakap tentang hakikat bahawa adalah sukar apabila mempunyai undang-undang jenayah dwi-sistem," tambahnya.

Pandangan yang serupa dikongsi oleh peguam hak asasi manusia Eric Paulsen, yang berkata sebarang usaha untuk memperkenalkan undang-undang hudud di Malaysia adalah tidak mengikut Perlembagaan.

 "Sebarang percubaan untuk meminda Perlembagaan bagi memperkenalkan hudud juga tidak akan mengikut Perlembagaan kerana ia akan melanggar struktur asas Perlembagaan," kata Paulsen.

Beliau menegaskan bahawa Dewan Undangan Negeri Kelantan tidak mempunyai bidang kuasa untuk meluluskan pindaan yang akan dibentangkan pada Rabu, seperti di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan, di mana semua undang-undang sivil dan jenayah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

"Ia juga melanggar Akta Mahkamah Syariah Bidang kuasa Jenayah 1965 (Pindaan 1984) yang memperuntukkan bahawa Mahkamah Syariah boleh menjatuhkan hukuman maksimum RM5,000 denda, atau penjara maksimum tiga tahun atau sebatan enam kali atau gabungan antara hukuman-hukuman berkenaan." kata Paulsen.

Beliau menambah bahawa pindaan itu, jika diluluskan akan melanggar Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kesamaan dan tanpa diskriminasi, kerana undang-undang hudud hanya terpakai kepada orang Islam, manakala orang bukan Islam tertakluk kepada undang-undang jenayah sivil.

"Di samping itu, beberapa kesalahan di bawah hudud terletak di bawah kesalahan undang-undang jenayah Perkara 7 (2) Perlembagaan, perlindungan daripada undang-undang jenayah kuat kuasa ke belakang dan perbicaraan berulang," kata Paulsen.

Walau bagaimanapun, pemimpin-pemimpin PAS seperti ahli jawatankuasa PAS Pusat Khalid Samad tidak bersetuju, mengatakan bahawa undang-undang hudud penting untuk rakyat Kelantan.

Beliau menjelaskan semasa sidang akhbar di lobi Parlimen pada Selasa bahawa walaupun untuk orang luar pengenalan hudud mungkin kelihatan terpisah daripada isu-isu peringkat nasional, ia adalah satu perkara yang penting untuk rakyat Kelantan.

"Kita perlu memahami bahawa rakyat Kelantan adalah unik dan politik orang Kelantan juga unik," katanya sambil menambah Kelantan adalah negeri paling layak untuk membuat keputusan mengenai hudud.

Beliau berkata, memandangkan parti hanya akan meminda Enakmen 1993 sedia ada, tidak ada isu untuk menjalankan versi akhir pindaan melalui DAP dan PKR sebelum ia dikemukakan kepada kerajaan negeri pada Rabu.

Sebagai tindak balas kepada kajian yang menunjukkan bahawa rakyat Kelantan meletakkan lebih kepentingan terhadap pembangunan dan pemulihan selepas banjir berbanding hudud, Khalid berkata kedua-dua isu saling tidak eksklusif dan boleh dilakukan pada masa yang sama.

Khalid menolak spekulasi perpecahan dalam Pakatan dan berkata pindaan kepada enakmen tidak harus dilihat sebagai sesuatu yang boleh menyebabkan perpecahan.

Pindaan yang dibuat termasuklah hak-hak orang bukan Islam di bawah hudud. Menurut Khalid, pindaan itu menetapkan bahawa hudud hanya terpakai kepada orang Islam. Sebelum ini, orang bukan Islam telah diberi pilihan untuk memilih hudud atau untuk dibicarakan di bawah undang-undang konvensional.

Sekutu parti itu masih belum menerima jawapan selepas taklimat khas oleh PAS Khamis lepas.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan