Ahli Parlimen Pembangkang Akan Bentang Usul Tergempar - Nurul Izzah

Diterbitkan: Selasa, 17 Mac 2015 6:26 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen pembangkang akan membentang usul tergempar di Dewan Rakyat bagi mengutuk tindakan polis menahan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berhubung ucapan berbaur hasutan.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen selepas dibebaskan daripada tahanan polis, Nurul Izzah berkata pakatan pembangkang turut menuntut permohonan maaf daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berhubung beberapa siri penangkapan di bawah Akta Hasutan 1948.

"Kami akan membuat usul tergempar di Dewan Rakyat menerusi prinsip Perlembagaan Persekutuan dan prinsip pemisahan kuasa dengan mengutuk tindakan polis yang menghina mahkamah bukan sahaja dalam hal Akta Perhimpunan Aman 2012 serta penggunaan Akta Hasutan," katanya di sini, Selasa.

Beliau yang hadir ke Parlimen memakai baju yang sama ketika ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Isnin menyifatkan penahanannya memberi impak yang besar kepada sistem demokrasi di negara ini.

"Penahanan saya semalam (Isnin) akan memberi kesan yang amat besar kepada semua Ahli Parlimen.

"Kita melihat ketua polis negara tidak mengambil kira impak dan kesan serta kuasa termasuk imunititi Ahli Parlimen dalam membawa suara rakyat," katanya.

Nurul Izzah ditahan di bawah Akta Hasutan pada Isnin kerana didakwa membuat tuduhan terhadap institusi kehakiman negara ketika membacakan ucapan Ketua Pembangkang yang juga ayahnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dewan Rakyat minggu lalu.

Tags / Kata Kunci: Parlimen , Nurul Izzah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan