DBKL Gesa 11,876 Peniaga Haram Jalani Program Pemutihan

Diterbitkan: Selasa, 17 Mac 2015 5:40 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggesa 11,876 peniaga haram di enam Parlimen untuk tampil memohon lesen menerusi Program Pemutihan Lesen Perniagaan.

Parlimen yang terlibat terdiri daripada Bukit Bintang, Segambut, Lembah Pantai, Kepong, Batu dan Seputeh.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio-Ekonomi DBKL, Datuk Normah Malik berkata, para perniaga terbabit disaran memohon lesen melalui program ‘Jom Mohon Lesen’ yang telah dimulakan sejak 1 Mac lalu bagi menangani masalah premis haram dan tindakan tegas dikenakan.

"Hasil bancian oleh ejen swasta yang dilantik iaitu, syarikat Oracle Synergy Sdn Bhd mendapati sebanyak 11,876 daripada 56, 045 perniagaan di enam parlimen itu tidak mempunyai lesen perniagaan.

"Oleh itu, pihak DBKL telah menganjurkan program ini supaya pemutihan perniagaan tanpa lesen dapat dilakukan dengan lebih mudah dan cepat," katanya pada sidang media di Menara 1 DBKL di sini, Selasa.

Normah memberitahu, Oracle Synergy Sdn Bhd yang mempunyai kontrak selama dua tahun sehingga Mei 2016 kini sedang menjalankan bancian perniagaan haram di Parlimen lain.

"Oleh itu saya menasihatkan dahulu peniaga di enam Parlimen tersebut untuk tampil memohon lesen perniagaan masing-masing sebelum tindakan tegas diambil.

"Peniaga yang ingkar untuk memohon lesen perniagaan akan berhadapan tindakan kompaun dan premis disita," ujarnya.

Jelasnya, bagi membolehkan permohonan mereka diluluskan dengan mudah dan cepat, pemohon perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan DBKL dalam tempoh enam bulan.

"Syarat-syarat tersebut ialah mendapatkan kelulusan perancangan dan pelan bangunan, mematuhi aspek keselamatan yang ditetapkan oleh bomba, tiada menimbulkan kacau ganggu kepada premis sekitar, memastikan tiada aktiviti tidak bermoral dan menjalankan aktiviti yang dilesenkan sahaja," katanya.

Sementara itu Normah berkata, satu program jelajah dalam usaha memudahkan pengusaha memohon lesen perniagaan tanpa perlu hadir ke Ibu Pejabat DBKL akan diadakan di Dewan Serbaguna Jinjang Utara, Kuala Lumpur pada 24 hingga 26 Mac ini.

Tags / Kata Kunci: DBKL , Peniaga Haram

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan